PUTRAJAYA: Mahkamah menukar hukuman mati ke atas seorang lelaki yang memenggal kepala rakan sekerja, dalam ritual mendapatkan nombor loteri, kepada penjara 35 tahun.
Sidang tiga hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan A Francis, yang dibuat mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan).
Sidang oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat serta Hakim Harmindar Singh Dhaliwal dan Hakim Nordin Hassan itu memerintahkan tempoh pemenjaraan Francis, 53 tahun, seorang bekas pekerja estet kelapa sawit, bermula dari 26 Ogos 1994.
Hakim kini boleh menjatuhi hukuman mati atau pemenjaraan sehingga selama 40 tahun bagi kes bunuh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling menyanggah permohonan Francis lalu mengesyorkan hukuman mati dikekalkan, lapor media Free Malaysia Today (FMT).
Beliau berhujah Francis mengorbankan nyawa seseorang untuk memenuhi keinginan, dan menyifatkan pembunuhan itu sebagai “mengerikan”, “ganas” dan “kejam” malah melampaui kes bunuh lain.
Peguam Francis, Abdul Rashid Ismail, bagaimanapun berhujah pembunuhan itu bukan terorisme.
Francis melakukan kesalahan itu terhadap Ali Ahammed Ullah, seorang warga Bangladesh, di ladang sawit berhampiran laluan Kuala Lumpur-Kuantan-Mentakab, pada 19 Ogos 1994 antara 9 dengan 11 malam.
Menurut fakta kes, Francis yang ketika kejadian berusia 23 tahun, melakukan kesalahan itu atas nasihat seorang bomoh, sebagai sebahagian suatu ritual.
Sebelum pembunuhan berlaku, Francis tidak henti-henti menjamu Ali dengan minuman beralkohol sehingga jadi tidak sedar. Dia kemudiannya menetak leher mangsa dengan parang.
Mahkamah Tinggi Temerloh mendapati dia bersalah dan menjatuhi hukuman mati pada 21 Oktober 1996, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 18 September 2002.
Cubaan Francis memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan pensabitan dan hukuman tidak berjaya apabila kes itu didengari pada 21 Mac 2005.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg