Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengguna rokok elektronik di M’sia bertambah 600% sejak 2011

May 17, 2024 | 12:26 PM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

PUTRAJAYA: Terdapat lonjakan 600 peratus dalam penggunaan rokok elektronik di Malaysia dalam tempoh 12 tahun yang lalu, menurut satu tinjauan tembakau.

Tinjauan Tembakau Dewasa Global (GATS) 2023 mendapati kira-kira 5.8 peratus orang dewasa Malaysia adalah pengguna e-rokok, berbanding hanya 0.8 peratus pada 2011, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

GATS adalah satu tinjauan isi rumah yang mewakili negara, yang dijalankan di lebih 30 negara berpendapatan rendah dan sederhana di seluruh dunia yang dibebani penggunaan tinggi tembakau.

Di Malaysia, tinjauan itu dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Perbandingan dibuat antara data 2011 dan 2023, iaitu satu tempoh 12 tahun.

Datuk Dr Dzulkefly berkata 4.8 juta orang, atau 19 peratus, penduduk dewasa Malaysia adalah perokok tembakau, dengan 3.7 juta, atau 14.6 peratus, merokok setiap hari, lapor Berita Harian Malaysia.

“Bagi pengguna dwiguna, iaitu tembakau dan rokok elektronik, didapati sebanyak 3.9 peratus golongan dewasa negara ini menggunakannya, dengan ia menunjukkan peningkatan 400 peratus berbanding tempoh sama, apabila pengguna dwiguna hanya 0.8 peratus,” ujar beliau.

Datuk Dr Dzulkefly berkata demikian ketika mendedahkan penemuan utama Hasil Penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) serta GATS di Kementerian Kesihatan (KKM) pada 16 Mei.

Menurut beliau, penggunaan rokok elektronik oleh kumpulan umur lebih muda juga tinggi, dengan peratusan tertinggi merupakan mereka yang berumur antara 15 dengan 24 tahun, iaitu 8.6 peratus.

“Bagi usia 25 hingga 44 tahun pula terdapat sebanyak 7.1 peratus pengguna rokok elektronik, diikuti usia 45 hingga 64 tahun (2.8 peratus) dan usia 65 tahun ke atas sebanyak 0.7 peratus.

“Faktor yang menyumbang kepada mereka terjebak dengan rokok elektronik ialah peranti itu tersedia dalam perisa digemari, persepsi rokok elektronik kurang memudaratkan berbanding tembakau, dan ia mudah didapati,” ujarnya.

Tinjauan itu mendapati perokok membelanjakan RM178 ($51.2) sebulan untuk membeli rokok.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg