PUTRAJAYA: Bahagian terbesar daripada 9.77 juta pengundi yang layak mengundi pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) Malaysia yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini membabitkan pengundi berusia antara 21 dengan 29 tahun.
Berdasarkan statistik yang dikongsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi dalam lingkungan usia itu adalah seramai 2,169,120 atau 22.19 peratus diikuti pengundi berusia antara 30 dengan 39 tahun iaitu seramai 2,163,982 orang atau 22.14 peratus.
Pengundi berusia 40 hingga 49 tahun pula seramai 1,695,876 orang (17.35 peratus) disusuli pengundi berusia 50 hingga 59 tahun iaitu seramai 1,380,446 orang (14.12 peratus) dan seramai 1,035,257 pengundi berusia antara 60 hingga 69 tahun (10.59 peratus).
Bagi pengundi muda berusia antara 18 dengan 20 tahun pula, statistik SPR berdasarkan daftar pemilih menunjukkan golongan terbabit adalah seramai 661,905 orang atau 6.77 peratus, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Seramai 491,111 pengundi membabitkan pemilih berusia antara 70 dengan 79 tahun atau 5.02 peratus manakala seramai 146,883 pengundi berusia antara 80 dengan 89 tahun (1.5 peratus) serta 28,991 lagi adalah pemilih berusia 90 tahun ke atas (0.3 peratus).
Sementara itu, Selangor merekodkan jumlah pengundi paling ramai iaitu membabitkan 3,747,057 pengundi diikuti Kedah (1,585,085), Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425).
Bagi PRN kali ini, seramai 4,935,937 atau 50.17 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi terdiri daripada wanita manakala 4,837,634 atau 49.83 peratus adalah lelaki.
Sementara itu, bilangan pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun di Selangor sebanyak 274,194 orang direkodkan paling ramai berbanding di negeri lain. Kedua tertinggi ialah di Kedah iaitu 104,284 pengundi, Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264) manakala Negeri Sembilan (55,017).
Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, mengumumkan 12 Ogos ini sebagai hari mengundi bagi PRN dan diadakan serentak di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai.
Dengan kos RM420 juta ($122 juta) bagi pelaksanaan PRN kali ini, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai, sehingga 11.59 malam 11 Ogos 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg