Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengusaha cincau tekad mahu keluar kepompong asnaf

May 27, 2025 | 1:41 PM
deqteh, cincau
Cik Zulfaidah Ahmad nekad keluar daripada kepompong asnaf dengan memulakan perniagaan minuman cincau di bawah jenama Deqteh di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Malaysia, bersama suami sejak tiga tahun lalu. - Foto FACEBOOK DEQTEH

KUALA PILAH (Negeri Sembilan): Seorang wanita nekad keluar daripada kepompong asnaf dengan memulakan perniagaan minuman cincau di bawah jenama Deqteh di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Malaysia, bersama suami sejak tiga tahun lalu.

Pengusaha berkenaan, Cik Zulfaidah Ahmad, 38 tahun, berkata penghasilan produk cincau blok dan minuman cincau itu dipasarkan sendiri di pasar tani dan pasar malam sekitar daerah Kuala Pilah, Johol dan Tampin selain turut menggunakan khidmat ejen serta dijual di beberapa stesen minyak dan kedai runcit terpilih.

Ibu kepada lima anak itu berkata perniagaan itu bermula daripada lambakan pokok cincau yang ditanam telah mendatangkan idea buatnya menambah pendapatan dengan menghasilkan produk itu.

“Saya minat tanam pokok herba termasuk pokok cincau. Mulanya hanya jual anak pokok tapi lepas tengok terlalu banyak lebihan, jadi saya pun proses buat minuman.

“Kalau peringkat awal memang saya sepenuhnya memproses cincau daripada pokok yang ditanam tapi selepas mendapat sambutan menggalakkan telah menyebabkan pokok sedia ada tidak dapat menampung pengeluaran.

“Jadi bagi memenuhi keperluan, saya terpaksa membeli daun cincau dengan pihak ketiga bagi memastikan pengeluaran produk tidak terganggu,” katanya kepada agensi berita Malaysia.

Mengimbau detik awal memulakan perniagaan, wanita itu berkata antara pengalaman tidak dapat dilupakan apabila terpaksa menumpang peti ais jiran untuk menyimpan bekalan jualan.

“Biasanya kami akan masukkan juga dalam tong sejuk beku dan jika terdesak barulah menumpang di rumah jiran. Situasi ini berlarutan antara tiga dengan empat bulan.

“Ketika itu saya sangat perlukan ‘chiller’, namun disebabkan masih baru berniaga, memang sukar untuk membuat pinjaman, sehinggalah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) tampil bantu memberikan peralatan tersebut,” luahnya.

Sehingga kini katanya, beliau masih mendapat bimbingan usahawan Mains melalui bengkel dan kursus disediakan selain turut mendapat sokongan agensi kerajaan lain serta mentor untuk terus bertahan dalam bidang perniagaan.

Ujarnya, perniagaan diusahakan itu terus menunjukkan perkembangan positif dan sambutan menggalakkan terutama pada Ramadan.

Sementara pada hari kebiasaan katanya, minuman itu masih dicari penggemarnya yang tahu akan khasiatnya untuk kesihatan kerana diproses menggunakan bahan berasaskan herba.

“Cuma tidak semua tahu akan khasiatnya malah kebanyakan anak-anak muda sekarang pun tak tahu minum minuman ini.

“Tujuan saya berniaga produk ini selain keluar daripada kepompong asnaf, ialah mahu memperluaskan dan mempromosikan lagi minuman ini kepada masyarakat luar,” katanya.

Ke arah itu katanya, beliau dalam proses untuk mempelbagaikan produk cincau itu kepada makanan berbentuk jeli berperisa untuk target pengguna dalam kalangan anak-anak.

“Idea ini sudah lama difikirkan, telah juga dilakukan penyelidikan dan pengembangan (R&D) cuma belum lagi dikeluarkan dalam pasaran kerana faktor kekangan masa selain bimbang kekurangan tenaga kerja.

“Untuk pengeluaran cincau blok dan minuman cincau saja memerlukan komitmen lima kali seminggu selain tempoh pemprosesan mengambil masa agak lama sehingga empat jam.

“Minuman yang kami hasilkan ini tidak menggunakan bahan pengawet bagi mengekalkan khasiatnya. Disebabkan itu, kami hanya akan buat mengikut permintaan kerana ia tidak boleh disimpan lama,” katanya.

Katanya, tumpuannya kini untuk terus menstabilkan perniagaan dengan harapan ia dapat diwarisi oleh anak-anak pada masa hadapan.

“Sudah semestinya kami berniaga dengan harapan dapat keluar daripada asnaf, meningkatkan ekonomi keluarga dan hidup senang.

“Walaupun saya belajar hanya setakat Darjah 6 namun minat berniaga sejak kecil dorong saya untuk terus berusaha, saya harap bisnes kami terus berkembang dan dapat diwarisi anak-anak satu masa nanti,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg