Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga Bazar Karat JB harap penambahbaikan segera di tapak sementara

Dec 8, 2025 | 3:44 PM
Malaysia, Johor,  Bazar Karat, peniaga
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah (kanan), ketika mengadakan lawatan ke tapak Bazar Karat JB. - Foto FACEBOOK HAIRI MAD SHAH

Kerajaan Johor memberi jaminan akan meneliti setiap isu yang dibangkitkan peniaga di tapak sementara Bazar Karat selepas mereka dipindahkan ke lokasi baru di kawasan tempat letak kenderaan bersebelahan Masjid India sejak November.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata beliau mengikuti rapat perkembangan peniaga sejak pemindahan dibuat susulan kerja menaik taraf tapak asal di Jalan Dhoby dan Jalan Tan Hiok Nee.

Menurut beliau, lawatan pada malam 7 Disember bertujuan menilai sendiri keadaan di lapangan dan mendengar terus keluhan peniaga yang kini beroperasi antara 7 malam dengan 3 pagi setiap hari.

“Saya dimaklumkan tapak sementara ini hanya mampu menampung 240 peniaga dalam satu masa.

“Pelbagai permasalahan daripada isu khemah lusuh, lesen, susun atur tapak dan keperluan prasarana telah saya dengar dan teliti,” katanya dalam satu kenyataan.

Encik Hairi berkata semua maklumat yang dikumpulkan akan dibawa ke peringkat tindakan bagi memastikan penambahbaikan dilaksanakan segera demi kelangsungan perniagaan para peniaga.

“Maklum balas daripada peniaga akan dihimpunkan dan dibawa ke peringkat seterusnya untuk tindakan susulan yang lebih terancang.

“Setiap pandangan, rungutan dan idea yang dikongsikan peniaga adalah penting bagi memastikan proses perpindahan sementara ini tidak menjejaskan pendapatan mereka, khususnya ketika kawasan tersebut menjadi tarikan utama pelancong dan pengunjung tempatan,” ujarnya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri komited memastikan peniaga kecil tidak terjejas sepanjang tempoh perpindahan, selain menyatakan penghargaan terhadap kesabaran dan kerjasama mereka.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat Johor Bahru menyifatkan lawatan tersebut sebagai penting bagi memastikan suara peniaga sampai kepada pihak berkuasa.

“Kehadiran Encik Hairi amat dihargai kerana memberi peluang kepada peniaga menyampaikan pandangan secara terus tanpa perantaraan.

“Kunjungan tersebut membolehkan Encik Hairi melihat sendiri susun atur baru, memahami cabaran seperti aliran pengunjung, keselamatan, kemudahan asas dan keadaan tapak yang sempit, selain menilai keperluan tambahan yang diperlukan dalam waktu terdekat,” katanya.

Menurut persatuan itu, lawatan berkenaan turut memberi keyakinan kepada peniaga suara mereka didengari, dan mereka berharap ia akan diterjemahkan kepada tindakan segera bagi meningkatkan keselesaan serta kelancaran operasi bazar.

Peniaga turut berharap proses penambahbaikan dapat dipercepat memandangkan Bazar Karat merupakan antara produk pelancongan bandar yang penting bagi Johor Bahru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg