KUALA LUMPUR: Isu penyalahgunaan dadah terutama melibatkan peranti rokok elektronik atau ‘vape’ sebagai medium penyaluran bahan terlarang itu semakin membimbangkan, memaksa pasukan KL Strike Force menjalankan kajian menyeluruh disusuli tindakan segera dalam membanteras kegiatan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata ancaman itu amat membimbangkan, kerana ia semakin menyusup ke ruang kehidupan generasi muda, termasuk pelajar sekolah.
“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan agar isu ini dikaji dan ditangani secara menyeluruh serta diselaras segera.
“Tindakan susulan akan dipacu oleh KL Strike Force, dengan penglibatan aktif semua agensi penguat kuasa, institusi pendidikan, komuniti setempat dan pakar kesihatan awam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, lapor Harian Metro.
KL Strike Force adalah unit khas yang akan bertindak secara bersepadu merangkumi pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Dr Zaliha yang juga Pengerusi KL Strike Force berkata pendekatan yang diambil kelak, akan merangkumi aspek penguatkuasaan, pencegahan, pemulihan dan pendidikan awam.
Sebelum ini media Malaysia melaporkan, Pengerusi Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad, berkata dengan harga serendah RM1 ($0.30 sen), remaja Malaysia kini boleh mendapatkan setitik cecair ‘vape’ yang dikhuatiri mengandungi bahan terlarang, sekali gus mampu menjerat mereka ke kancah penagihan dadah.
Sementara itu dalam perkembangan lain, mengulas mengenai tahap keselamatan keseluruhan di Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha berkata ia kekal stabil dan terkawal, namun orang ramai tidak boleh alpa.
“Keamanan yang dinikmati hari ini perlu dipertahankan melalui iltizam yang konsisten, respon yang tangkas serta sinergi antara agensi yang mantap.
“Keselamatan adalah cerminan kepada keutuhan masyarakat dan kecekapan dasar yang dilaksanakan. Keupayaan kita mengurus punca kepada gejala sosial, asas kepada bandar yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Terdahulu, Dr Zaliha mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan yang merupakan ruang penting untuk agensi keselamatan dan penguat kuasa di Wilayah Persekutuan.
Mesyuarat itu bertujuan mendapatkan gambaran komprehensif dan perbincangan berkenaan tahap keselamatan semasa di Wilayah Persekutuan, termasuk penilaian terhadap Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK), trend jenayah bandar dan cabaran baru yang menuntut tindakan lebih tuntas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg