Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pahang pula haramkan penggunaan ‘vape’ serta-merta

Jun 12, 2025 | 11:16 AM
Malaysia, Pahang, vape, haram
Kerajaan Pahang antara negeri terbaru mengharamkan penggunaan dan penjualan ‘vape’, yang dilihat lebih banyak mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat. - Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Pahang mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ secara menyeluruh serta-merta, selaras fatwa dikeluarkan Pejabat Mufti Pahang.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata justeru peniaga diingatkan secara beransur-ansur tidak lagi mengambil bekalan ‘vape’.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) turut disaran melaksanakan penguatkuasaan secara berhemah dan berhikmah agar masyarakat memahami bahaya penggunaan ‘vape’.

“Kita faham peniaga mungkin berdepan kekangan, jadi mereka boleh mulakan langkah secara beransur-ansur seperti tidak lagi mengambil bekalan ‘vape’.

“Pengguna pula digalakkan untuk berikhtiar meninggalkan tabiat ini dengan bantuan doa kepada Allah swt,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata keputusan pengharaman menyeluruh ‘vape’ dicapai selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pahang di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), Kuantan.

“Fatwa ini turut mendapat limpah perkenan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahad Shah, yang telah beberapa kali berkata menyuarakan kebimbangan terhadap kesan buruk penggunaan ‘vape’,” kata Syed Ibrahim.

Terdahulu pada April lalu, Sultan Abdullah menzahirkan kebimbangan punca utama golongan muda terjebak ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan ‘vape’.

Sultan Abdullah berkata beliau akan menyuarakan kepada kerajaan supaya ‘vape’ diharamkan secara total dan tidak perlu diberi pertimbangan sewajarnya.

Dalam satu hantaran di Facebook beliau, Syed Abdullah menegaskan PBT di Pahang digesa memastikan penjualan rokok elektronik atau ‘vape’, dihentikan sepenuhnya pada awal 2026.

Menurutnya, ia selaras dengan keputusan kerajaan negeri Pahang mengisytiharkan pengharaman penggunaan ‘vape’ di negeri itu bermula sekarang.

Pahang menyusuli langkah diambil oleh beberapa negeri lain yang lebih dulu telah mengisytiharkan pengharaman penjualan ‘vape’ seperti Johor dan Kelantan, diikuti Perlis dan Terengganu yang akan berkuatkuasa Ogos ini.

Beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Perak pula sedang membuat pertimbangan menyeluruh sebelum menguatkuasakan pengharaman ‘vape’ di negeri terbabit.

Tindakan agresif negeri-negeri di Malaysia dalam melarang penjualan dan penggunaan ‘vape’ dilihat langkah penting bagi menangani isu penyalahgunaan dadah menerusi peranti ‘vape’ yang kian parah mutakhir ini.

Dilaporkan, hanya dengan RM1 ($30 sen), remaja di Malaysia kini boleh mendapatkan satu titis ‘vape’ yang dibimbangi mengandungi bahan terlarang, sekali gus menjerat mereka ke arah penagihan dadah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg