PETALING JAYA: Pengenalan mana-mana prosedur operasi standard (SOP) yang berpotensi untuk membendung penularan mpox mestilah mesra perniagaan, kata kumpulan syarikat dan peniaga, sedang banyak syarikat masih pulih daripada pandemik Covid-19.
Presiden Persatuan Peruncit Malaysia, Datuk Andrew Lim Tatt Keong, berkata sebarang SOP yang mungkin perlu dilaksanakan perlulah tegas demi memastikan keselamatan awam.
Namun, beliau menggesa SOP yang membenarkan perniagaan terus beroperasi seperti biasa.
“Malaysia baru sahaja keluar daripada pandemik Covid-19 dan kini mempunyai pengalaman serta kebijaksanaan untuk mengambil tindakan segera apabila perlu.
“Saya juga pasti Kementerian Kesihatan akan bekerja lebih masa untuk menangani situasi ini dengan berkesan,” katanya, lapor The Star.
Datuk Lim, yang merupakan pengerusi eksekutif Kumpulan Gama, berkata perniagaan bersedia melaksanakan langkah pencegahan sebaik sahaja diarahkan untuk berbuat demikian.
“Ingatan tentang sekatan perjalanan masih segar dalam fikiran kita dan kita semua berpengalaman dalam mengendalikannya.
“Sebaik sahaja arahan datang, kita bersedia untuk melaksanakannya,” kata Datuk Lim.
Setiausaha Agung Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia, Encik Chin Chee Seong, menggesa kerajaan supaya melibatkan diri dengan persatuan perdagangan jika ia merancang mengenakan SOP untuk mpox.
Beliau turut mengulangi seruan bagi sebarang SOP yang bakal dilakukan untuk membolehkan perniagaan terus beroperasi.
“Jika ada SOP baru, cepat beri nasihat dan bekerjasama dengan kami dan persatuan lain supaya kami boleh sebarkan maklumat kepada ahli kami untuk dilaksanakan.
“Kerajaan juga boleh menasihati orang ramai lebih lanjut mengenai mpox dan bahayanya serta bagaimana untuk memastikan pencegahan awal,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa SME juga tidak mampu menghadapi krisis lain seperti pandemik Covid-19.
“Jika ia berlaku, separuh daripada perniagaan mungkin lesap.
“Kami sedang bersedia bagi ekonomi yang lebih baik tetapi jika isu lain timbul, ia akan memberi kesan bukan sahaja kepada SME malah juga ekonomi negara secara umum,” katanya.
Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor, Encik Nivas Ragavan, turut menggesa kerajaan Malaysia agar melibatkan pihak perniagaan jika ada rancangan untuk sebarang SOP mpox.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg