Singapura mula melaksanakan pemeriksaan suhu badan dan visual di lapangan terbang Changi dan Seletar mulai 23 Ogos, sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko penularan jangkitan mpox, yang sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet, dari luar negara.
Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata ia akan mempertingkat keupayaan pengawasan Singapura terhadap virus berjangkit itu di sempadan negara.
Langkah pemeriksaan sama juga akan dilaksanakan di pusat pemeriksaan laut bagi kru dan penumpang kapal yang tiba dari kawasan terjejas mpox.
Setakat ini, tiada penerbangan langsung antara Singapura dengan mana-mana negara yang dilanda wabak mpox, lapor The Straits Times (ST).
Sejauh ini, penularan wabak itu hanya berlaku di Afrika, dengan dua mpox lebih teruk, jenis Clade I, dilaporkan di Sweden dan Thailand.
Namun, tiada laporan penyakit itu kian merebak di kededua negara itu.
Pemeriksaan suhu badan dan visual di lapangan terbang Changi dan Seletar akan diadakan terhadap pelancong dan kru penerbangan yang tiba di Singapura dari negara yang mungkin terdedah kepada risiko wabak mpox.
Makluman kesihatan sudah dipasang di pusat pemeriksaan udara yang menasihatkan pelancong agar mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada dijangkiti.
Pelancong sangat digalakkan mematuhi nasihat tersebut, terutama jika mereka berkunjung atau datang dari negara terjejas.
Mereka yang didapati mengalami demam, ruam dan/atau gejala mpox lain akan dirujuk untuk menjalani penilaian perubatan.
Terdapat 13 kes mpox yang dikesan di Singapura setakat 22 Ogos 2024, kesemuanya adalah jangkitan mpox Clade II yang kurang teruk.
Tiada kes mpox lebih teruk, iaitu jenis Clade I, dikesan di Singapura sejauh ini, menurut MOH.
Ia sedang memantau situasi mpox di seluruh dunia dengan teliti, tambahnya.
Pada 14 Ogos, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam masa dua tahun.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika Syarikat, terdapat lebih 27,000 kes mpox yang mengakibatkan lebih 1,300 kematian, kebanyakannya kanak-kanak di Republik Demokratik Congo (DRC) sejak Januari 2023.
Ketua Pengarah WHO, Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata kemunculan kumpulan baru mpox, dan penularan pesatnya di Congo dan beberapa negara jiran “sangat membimbangkan”.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata wabak mpox di beberapa negara Afrika dijangka merebak ke Timur Tengah dan Eropah, yang mempunyai laluan penerbangan dengan Singapura.
“Kita harus berjaga-jaga. Kita harus menjangka ia (jangkitan mpox) akan tiba di Singapura, dan apabila ia berlaku, memberi respons yang sewajarnya dan secara berkesan,” kata Encik Ong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg