Peniaga M’sia kembang sayap ke bazar Ramadan S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga M’sia kembang sayap ke bazar Ramadan S’pura

Mar 3, 2026 | 4:27 PM

Peniaga M’sia kembang sayap ke bazar Ramadan S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
martabak, Masjid Tanah Melaka, Bazar Ramadan Admiralty
Peniaga dari Masjid Tanah, Melaka, Cik Ramlah Ali, bersama martabak jualannya di Bazar Ramadan Admiralty di Singapura. - Foto ihsan RAMLAH ALI

Ketika bazar Ramadan tumbuh meriah di serata Malaysia, sebahagian peniaga tempatan memilih untuk melangkaui sempadan dengan berniaga di Singapura.

Tertarik dengan kuasa beli yang lebih tinggi serta permintaan baik terhadap makanan Malaysia oleh pelanggan dari republik ini, peniaga melihat bazar Ramadan di Singapura sebagai peluang menjana pendapatan lebih lumayan, selain kesempatan meneroka pasaran baharu dan melebarkan sayap perniagaan.

Peniaga martabak dari Masjid Tanah, Melaka, Cik Ramlah Ali, 36 tahun, memutuskan untuk berniaga di Bazar Ramadan Admiralty, selepas perniagaan kek diusahakannya sebelum ini mendapat sambutan hangat warga Singapura.

“Sebelum ini saya jual kek dan buat penghantaran ratusan kek sebulan dari Melaka ke Singapura.

“Selepas menyertai beberapa ekspo di Singapura, termasuk di bawah penganjur Mega Express, Salam Festival dan Muslim Festival, akhirnya saya putuskan untuk menjual martabak di bazar Ramadan Singapura. 

“Kalau jual kek, siapa nak beli untuk berbuka puasa? Jadi sebab itu saya jual martabak,” katanya yang menggunakan nama gerai Martabak & Teh Ais Baked by Reen, kepada Berita Harian (BH).

Pengalaman berniaga di Singapura bukan tanpa cabaran kerana menurut Cik Ramlah yang lebih dikenali pelanggan dengan nama Cik Reen, setiap peniaga wajib mengikuti kursus pengendalian makanan, walaupun sudah mempunyai sijil di Malaysia.

“Selain itu peniaga perlu mempunyai seorang wakil warga Singapura dan syukur sepupu saya memang tinggal di sini dan beliau turut membantu operasi jualan,” katanya. 

Pelanggan di Singapura beratur untuk mendapatkan martabak jualan peniaga dari Malaysia, Cik Ramlah Ali, di Bazar Ramadan Admiralty, Singapura.
Pelanggan di Singapura beratur untuk mendapatkan martabak jualan peniaga dari Malaysia, Cik Ramlah Ali, di Bazar Ramadan Admiralty, Singapura. - Foto RAMLAH ALI

Cik Ramlah mengakui teruja dengan sambutan pelanggan Singapura yang sangat menyokong, malah sanggup beratur satu hingga dua jam untuk membeli martabak. 

“Alhamdulillah sehari maksimum saya jual 400 keping martabak,” katanya yang menjual sekeping martabak ayam pada harga $10 (RM30.90) dan $12 sekeping bagi martabak daging.

Cik Ramlah berkata awalnya, beliau mendapat maklum balas pelanggan yang mempersoalkan rasa martabak Malaysia yang berbeza dengan martabak Singapura.

“Awalnya, mereka terkejut kerana martabak di Singapura tidak menggunakan kentang atau jeruk bawang.

“Tetapi lama kelamaan ramai yang suka kerana ada kelainan,” katanya.

Sementara itu, bagi pelawak Malaysia, Shuk Sahar, atau nama sebenarnya, Mohamad Shukri Mohamed Sahar, ini adalah tahun ketiga beliau menjadi usahawan makanan di bazar Ramadan Singapura.

Menurut Shuk, beliau memilih untuk terus berniaga di republik kerana sambutan pelanggan yang sangat menggalakkan, selain peluang memperkenalkan makanan tradisional Malaysia, nasi kerabu, yang digemari warga Singapura, tetapi sukar ditemui di sini.

“Kalau di bazar Malaysia, nasi kerabu itu biasa. Tapi di Singapura, ia agak sukar didapati, sebab kebanyakan makanan di sini lebih kepada konsep hipster,” katanya kepada BH.

Bermula dengan satu bazar pada 2026, beliau kini mengendalikan gerai di dua tempat iaitu, di Bazar Ramadan Admiralty dan Bazar Tampines 301, yang sudah masuk tahun ketiga disertainya.

Perjalanan perniagaannya, jelas Shuk, agak mudah kerana bekerjasama dengan rakan kongsi warga Singapura.

Harga nasi kerabu yang dijual ditawarkan antara $10 dengan $14 sebekas dengan pilihan lauk ayam, daging dan kambing bakar.

Kata Shuk, walaupun kos operasi lebih tinggi kerana menggunakan dapur pusat di Singapura serta perlu membawa masuk bahan tertentu seperti budu dan keropok dari Kelantan, beliau melihat pasaran di Singapura sangat berbaloi.

Cuma antara cabaran terbesar ialah berjauhan dengan keluarga.

Malah sepanjang berniaga di Singapura, beliau beberapa kali berulang-alik ke Malaysia untuk menjaga bapanya, Encik Mohammed Shahar Abdul Hamid, 86 tahun, yang menghidap barah paru-paru dan meninggal dunia pada 16 Januari lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg