Peniaga sedia terima limpahan pembeli S’pura jelang Tahun Baru Cina
Peniaga sedia terima limpahan pembeli S’pura jelang Tahun Baru Cina
Tempahan hamper, hotel dijangka melonjak jelang akhir Jan
JOHOR BAHRU: Peniaga di bandar raya Johor Bahru kini giat membuat persiapan, menjangkakan limpahan pembeli dari Singapura menjelang sambutan Tahun Baru Cina.
Mereka mendapati bilangan pelanggan kian bertambah sejak beberapa minggu lalu, dengan ramalan lonjakan jualan yang lebih ketara akan menyusul tidak lama lagi.
Pemilik kedai hamper, Encik Loo Chok Nan, mendedahkan tempahan Tahun Baru Cina daripada pembeli Malaysia dan Singapura mula diterima sejak awal Januari.
“Kebiasaannya kami akan terus menghantar hamper sebaik sahaja ia dibungkus dan agar ada ruang untuk menyediakan tempahan baru.
“Setakat ini, kami telah menghantar sekurang-kurangnya 300 hamper termasuk kepada pelanggan Singapura, dan jumlah itu dijangka meningkat, terutama dalam tempoh dua minggu sebelum perayaan,” katanya.
Encik Loo berkata secara purata beliau menerima sekitar 10,000 tempahan hamper sempena Tahun Baru Cina setiap tahun, lapor The Star.
“Kami berharap dapat mencapai jumlah yang hampir sama tahun ini, namun ia sukar diramal kerana semakin banyak kedai menawarkan hamper sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Sentimen sama turut dikongsi pemilik tapak semaian, Encik Ng Kok Yeo, yang berkata beliau mula melihat peningkatan pelanggan sejak awal bulan Januari.
“Pembeli dari Singapura datang lebih awal kali ini. Kami sudah mula menghantar tanaman sejak kira-kira dua minggu lalu.
“Kebiasaannya, lebih ramai pelanggan akan membeli tanaman satu atau dua minggu sebelum perayaan kerana mereka mahu tanaman kekal segar.
“Namun tanaman yang tahan lama seperti buluh biasanya dibeli lebih awal,” katanya.
Beliau berkata antara tanaman lain yang menjadi pilihan sempena Tahun Baru Cina termasuk bunga sakura, kekwa dan orkid.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Johor, Encik Ivan Teo, berkata pihak hotel menjangkakan peningkatan tempahan menjelang akhir bulan Januari.
“Suasananya agak perlahan pada awal tahun 2026. Belum ada lonjakan ketara bilangan pelawat, termasuk pelancong dari China yang sering berkunjung semasa perayaan ini.
“Kami menjangkakan gambaran yang lebih jelas menjelang hujung bulan ini, dan diharap kempen Tahun Melawat Johor serta Tahun Melawat Malaysia dapat membantu menarik lebih ramai pelawat,” katanya.
Tahun Baru Cina tahun ini akan disambut pada 17 Februari.

