Singapura dan Malaysia akan meningkatkan kuota teksi berlesen secara bertahap daripada 200 kepada 500 teksi dari setiap negara.
Sebagai permulaan, setiap negara akan meningkatkan kuota teksi sebanyak 100, diutamakan untuk kenderaan lebih besar dan premium yang dapat memenuhi keperluan kumpulan lebih besar dan pelancong perniagaan.
Demikian menurut Kementerian Pengangkutan dari dua negara dalam satu kenyataan bersama pada 5 Disember.
Ia menambah kedua-dua negara itu berhasrat melakukan perkara tersebut “tertakluk kepada pelaksanaan perlindungan yang berkesan terhadap perjalanan domestik haram dan keperluan insurans”.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas pertemuan antara Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, dengan Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, di Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12 pada 4 Disember.
Kedua-dua negara itu juga bersetuju membenarkan teksi rentas sempadan menurunkan penumpang di mana-mana sahaja di luar negara asal mereka demi meningkatkan kemudahan untuk pelancong.
Pada masa ini, hanya satu tempat ditetapkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang selepas mereka melintasi sempadan – Terminal Larkin Sentral, terminal pengangkutan awam utama di Johor Bahru, bagi teksi berdaftar Singapura; dan Terminal Ban San Street di Singapura bagi teksi Malaysia.
Teksi asing masih dibenarkan mengambil penumpang hanya di tempat yang ditetapkan bagi mengelakkan mereka daripada menyediakan khidmat teksi tempatan dari satu tempat ke satu tempat, tambah kenyataan itu.
“Kami akan meningkatkan bilangan tempat ambil penumpang secara bertahap untuk tempahan aplikasi kenderaan sewa privet (ride hailing atau e-hailing),” menurut kenyataan.
Kenyataan itu tidak menyatakan bila pengumuman itu akan berkuat kuasa.
Kedua-dua negara itu turut akan berusaha ke arah mempertingkat perlindungan insurans teksi rentas sempadan, dan mempercepat proses tuntutan sekiranya berlaku kemalangan, tambahnya.
Mereka juga bersetuju berusaha ke arah rejim kawal selia bagi platform tempahan aplikasi kenderaan sewa privet rentas sempadan dan untuk mengenal pasti teksi rentas sempadan berlesen dengan jelas.
Menulis di Facebook, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, berkata kedua-dua pihak komited mempertingkat khidmat teksi rentas sempadan bagi memenuhi keperluan pelancong dengan lebih baik, sambil membendung khidmat yang menyalahi undang-undang.
“Langkah-langkah ini bertujuan menjadikan perjalanan rentas sempadan lebih lancar, selamat dan cekap untuk semua,” tambah beliau.
Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan penasihat Persatuan Teksi Nasional (NTA), Cik Yeo Wan Ling, dalam hantaran Facebook beliau pula, berkata persatuan itu mengalu-alukan pengumuman tersebut.
Menurutnya, peningkatan bilangan tempat mengambil dan menurunkan penumpang yang dirancang akan memberi kemudahan lebih luas kepada penumpang selain meningkatkan peluang pendapatan untuk pemandu.
Cik Yeo menambah peningkatan dalam kuota teksi berlesen – terutama bagi kenderaan lebih besar dan premium – akan menyokong pelancong perniagaan dan kumpulan lebih besar dengan lebih baik.
“Peningkatan ini dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan membuka peluang pasaran lebih besar untuk pemandu teksi kami, membolehkan lebih ramai pemandu teksi memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat bagi pengangkutan rentas sempadan,” kata beliau.
Selain itu, Singapura dan Malaysia juga akan berusaha mempertingkat khidmat bas rentas sempadan untuk pelancongan, tambah kenyataan bersama itu.
Kedua-dua menteri telah meminta agensi negara masing-masing agar berusaha ke arah menyelaras rejim kawal selia mereka dan berbuat demikian “atas semangat timbal balik”.
Kenyataan itu menyatakan selain khidmat teksi, pelancong dari kedua-dua negara bergantung pada khidmat bas rentas sempadan untuk pelancongan, termasuk ke destinasi di luar Johor Bahru.
“Walaupun pilihan ini telah berkhidmat dengan baik untuk pelancong, kedua-dua menteri menyedari perkhidmatan yang lebih luas boleh menjadikan perjalanan bas pilihan lebih menarik,” kata kenyataan berkenaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg