PUTRAJAYA: “Kes ini membabitkan kemusnahan dua kehidupan (ibu dan anak),” kata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Noorin Badaruddin sebelum menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap Rosmaini Abdul Raof, atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Jahidah Nordin@Sylvester, lima tahun lalu.

Hukuman maksimum terhadap Rosmaini, 43 tahun, itu dikenakan selepas Mahkamah Rayuan di sini pada 4 Mei, membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Keputusan dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azman Abdullah dan dianggotai Datuk Noorin serta Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, lapor Berita Harian Malaysia.

Menyampaikan keputusan mahkamah, Datuk Noorin berkata hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap tertuduh sebelum ini tidak memadai dengan keseriusan kesalahan dilakukan.

Beliau berkata ia bukan kes kecederaan parah biasa, sebaliknya serangan kejam berterusan suami terhadap isterinya yang sedang mengandung sehingga menyebabkan mangsa berada dalam keadaan vegetatif berterusan, iaitu gangguan ketidaksedaran akibat kerosakan otak teruk di mana pesakit terjaga tetapi tidak sedarkan diri.

“Keterangan perbuatan menunjukkan kecederaan meluas dan dahsyat termasuk pendarahan otak, patah di beberapa bahagian serta kerosakan neurologi yang teruk.

“Keadaan mangsa tidak boleh dipulihkan dan bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

“Keterangan impak keluarga mangsa sebagaimana dihujahkan juga amat menyayat hati.

“Mangsa digambarkan sebagai mayat hidup yang memerlukan penjagaan sepenuh masa selama bertahun-tahun tanpa sebarang harapan untuk pulih.

“Kesan daripada perbuatannya bukan saja menimpa mangsa, malah turut membabitkan anak yang dikandung ketika kejadian.

“Anak mengalami kelewatan perkembangan dan kecacatan akibat insiden itu,” katanya.

Datuk Noorin berkata kes terbabit wajar dikenakan hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh undang-undang bagi mencerminkan keseriusan kesalahan, memenuhi kehendak keadilan dan memberi mesej tegas terhadap perbuatan sedemikian.

Pada 4 November 2025, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Disember 2024 yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini.

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan akhir diputuskan.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya itu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Rosmaini didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin, kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.