Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pensyarah M’sia tersenarai kelompok 2% saintis terbaik dunia

Oct 14, 2025 | 11:51 AM
Profesor Dr Norazah Mohd Suki, uum, scientist
Penyelidik dan profesor daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur, Profesor Dr Norazah Mohd Suki, melakar kejayaan membanggakan apabila menjadi wanita pertama Malaysia tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia selama tujuh tahun berturut-turut dari 2019 hingga 2025. - Foto UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Penyelidik dan profesor daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur, Profesor Dr Norazah Mohd Suki, mencipta sejarah sebagai wanita pertama Malaysia tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia selama tujuh tahun berturut-turut dari 2019 hingga 2025.

Senarai berprestij itu diterbitkan oleh Universiti Stanford dan penerbit akademik, Elsevier, yang menilai lebih 9 juta penyelidik dari seluruh dunia, namun hanya sekitar 100,000 saintis berimpak tinggi dipilih berdasarkan citation (petikan), indeks H, kolaborasi antarabangsa dan peranan kepengarangan utama.

Bagi Profesor Dr Norazah, pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan peribadi malah kebanggaan buat Malaysia.

“Apabila saya mengetahui disenaraikan buat kali ketujuh, saya amat bersyukur.

“Ia bukan hanya penghargaan terhadap kerja keras saya, malah legasi untuk UUM dan Malaysia, membuktikan bahawa kita mampu berdiri setaraf dengan saintis antarabangsa,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Pencapaian beliau bukan sahaja menzahirkan kecemerlangan peribadi, malah mengukuhkan profil penyelidikan Malaysia di persada global, selain menjadi simbol kecekalan wanita Malaysia dalam dunia akademik yang berdaya saing dan lazimnya dikuasai kaum lelaki.

Profesor Dr Norazah tersenarai dalam World’s Top 2% Scientists (dua peratus saintis terbaik dunia) sejak pengiktirafan itu diperkenalkan oleh Universiti Stanford dan Elsevier pada 2019.

Beliau kini di kedudukan 167 dunia dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan, serta ke-5,173 secara keseluruhan dalam kalangan 100,000 saintis berimpak tinggi di seluruh dunia.

Berdasarkan pangkalan data Scopus, beliau mencatatkan indeks H 39 dengan lebih 196 artikel diterbitkan dan lebih 5,000 petikan oleh penyelidik lain di seluruh dunia, iaitu satu pencapaian luar biasa dalam bidang sains sosial dan pengurusan yang biasanya tidak mencatat kadar rujukan setinggi bidang sains tulen.

Scopus ialah pangkalan data pelbagai disiplin yang berasaskan semakan rakan sebidang, sementara indeks H merujuk kepada ukuran yang menilai keseimbangan antara kuantiti dengan kualiti penyelidikan seseorang saintis.

Menjelaskan dengan lebih lanjut pencapaiannya, Profesor Dr Norazah berkata indeks H 39 bermaksud sekurang-kurangya 39 artikel beliau yang masing-masing telah dirujuk sekurang-kurangnya 39 kali oleh penyelidik lain.

“Realitinya, bukan semua orang boleh mencapai Scopus indeks H 30 ke atas, apatah lagi 39.

“Ia satu angka yang sangat tinggi, terutama dalam bidang sains sosial dan pengurusan kerana bidang ini tidak mempunyai jumlah penyelidik dan kadar rujukan setinggi bidang sains tulen.

“Angka itu menunjukkan hasil penyelidikan saya bukan sahaja diterbitkan, tetapi turut digunakan dan dirujuk secara meluas oleh masyarakat akademik antarabangsa,” jelas anak kelahiran Kluang, Johor, itu.

Tegas beliau lagi, pemilihan ke dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia tidak bergantung pada jumlah penerbitan semata-mata, sebaliknya kualiti dan impak sebenar penyelidikan.

“Tiada permohonan, tiada pencalonan, semuanya berpaksikan data penerbitan yang sahih dan berimpak tinggi. Jadi, apabila nama kita muncul dalam senarai itu, ia benar-benar hasil kerja keras bertahun-tahun,” jelasnya.

“Untuk kekal dalam senarai ini bukan mudah. Kita perlu terus aktif menjalankan penyelidikan berimpak tinggi, menulis, menerbitkan dan berkolaborasi di peringkat antarabangsa.

“Walau sesibuk mana pun saya sentiasa pastikan setiap hari ada masa diperuntukkan untuk menulis atau menyemak data penyelidikan dengan penuh disiplin,” kongsinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg