Pada pagi 18 September lalu, hari biasa seorang Pensyarah Perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dekat Nilai, Negeri Sembilan, berubah selepas beliau menerima e-mel daripada Universiti Cambridge, Britain, tempat beliau melanjutkan pengajian peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Dr Hanis Hidayu Kasim, 39 tahun, membuka e-mel universiti itu dengan penuh debaran, sebelum dikejutkan dengan berita yang dianggap ‘ajaib’ dan sukar dipercayai olehnya – tesis beliau lulus tanpa sebarang pembetulan.
Bagi kebanyakan penuntut sarjana (Master) dan PhD, proses viva biasanya penuh debaran dan hampir selalu diiringi syarat pindaan, ada yang kecil, ada yang memakan masa berbulan untuk disempurnakan, malah ada yang perlu dirombak semula.
Proses viva ialah peperiksaan lisan dan penilaian oleh panel penilai dari dalam dan luar universiti terhadap tesis atau kajian yang dijalankan.
Tetapi bagi Dr Hanis, jawatankuasa senat universiti berprestij dunia itu sebulat suara menilai hasil penyelidikannya sebagai hampir sempurna – iaitu satu pencapaian yang jarang sekali berlaku terutama di universiti ternama antarabangsa.
“Ia memang luar biasa dan ajaib bagi saya kerana tidak pernah menjangka akan beroleh keputusan yang membanggakan seperti ini,” kata anak kelahiran Melaka itu ketika ditemui Berita Harian (BH) di Usim.
Tesis beliau yang berjudul, Study of Fat Metabolism and the Interplay with Insulin in Preterm Infants in the First Year of Life, meneliti metabolisme lemak serta kaitannya dengan insulin dalam kalangan bayi pramatang sepanjang tahun pertama kehidupan.
Keunikan kajian itu terserlah melalui gabungan dua komponen penting – lipidomik (kajian lemak) dan insulin – dengan pemantauan rapi sejak kelahiran hingga usia setahun.
Walaupun kajian itu menggunakan teori 1,000 hari, kajian Dr Hanis hanya melibatkan bayi sehingga usia setahun.
“Kalau ada masalah dalam tempoh 1,000 hari pertama bayi pramatang ini, ia boleh menjejaskan programming metabolisme tubuh dan menyebabkan kesan jangka panjang, termasuk risiko penyakit tiga serangkai,” jelasnya.
Rahsia di sebalik pencapaian luar biasa yang sama sekali tidak diduga itu, kata Dr Hanis, terletak pada ketelitian dan kesanggupan memperbaiki hasil kajian berulang kali.
“Saya bermula daripada sifar dan ketika hantar tesis itu, ia sebenarnya draf ke-110! Saya ulang kaji berkali-kali dan pastikan saya faham sepenuhnya setiap perenggan yang ditulis.
“Saya keluarkan keyword (kata kunci) daripada setiap bahagian tesis, jadi saya boleh bentangkan semula dengan yakin kepada panel penilai pada sesi viva.
“Bagi saya untuk dapat keputusan cemerlang memang kena teliti.
“Contohnya, kebiasaannya untuk tesis, pelajar hanya ada satu chapter method (kaedah bab), tetapi saya ada dua chapters sebab saya mahu ceritakan betapa dalamnya kajian ini dan teknik yang saya buat semua ada justifikasinya,” katanya.
Beliau bertemu lebih 430 bayi atau keluarga, namun hanya 73 yang bersetuju untuk menyertai kajiannya.
Dr Hanis tidak menyangka tajuk kajian yang dipilih secara kebetulan membuahkan hasil terbaik buat pengajiannya.
“Sebenarnya tajuk ini adalah kebetulan. Saya ke Universiti Cambridge dengan hasrat asal untuk menyambung kajian penyelia utama saya, Profesor David Dunger, bertajuk Cambridge Baby Grow Study yang fokus pada remaja.
“Tetapi beliau kemudian meninggal dunia. Jadi saya terpaksa tukar kepada tajuk bayi pramatang ini.
“Apabila belajar di tahun pertama, saya memang kena banyak menulis dan mengumpul data dan ketika itulah saya mula belajar mengenai bayi pramatang dan rasa tajuk ini sangat baik lalu mula fokus pada kajian ini,” ceritanya.
Beliau mengakui turut mengikuti kelas bimbingan akademik buat penuntut PhD daripada Dr Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri atau dikenali sebagai Dr Roket, yang mengajarnya untuk menulis tesis bukan sekadar untuk lulus, tetapi untuk cemerlang.
Malah, hasil kajian Dr Hanis begitu dihargai panel penilai sehingga disarankan untuk diterbitkan dalam jurnal antarabangsa.
Menjelaskan apakah maksud tanpa pembetulan dalam keputusan tesisnya, Dr Hanis berkata jika peperiksaan biasa ada pemarkahan seperti A, B, C dan D.
“Tetapi dalam tesis keputusan paling cemerlang ialah without correction (tanpa pembetulan), dan lain-lain ialah minor correction (pembetulan kecil) yang boleh mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk dibuat pembetulan; major correction (enam bulan hingga setahun yang bermaksud mungkin pelajar perlu ulangi kajian atau menulis bab baru) atau yang terakhir ialah gagal.
“Jadi kebanyakan pelajar PhD dapat pemarkahan kategori minor correction dan sangat jarang yang dapat tanpa pembetulan.
“Justeru mungkin itulah yang memberi kegembiraan kepada semua orang,” ujar Dr Hanis.
Bagi Dr Hanis, PhD bukan sekadar menghasilkan tesis, malah satu perjalanan yang mematangkan jiwa, melatih pemikiran kritis, dan mendidik tentang nilai ketekunan.
“Tahun ketiga pengajian pada 2022, saya mengalami tekanan yang serius sehingga terpaksa pulang seketika ke Malaysia untuk dapatkan kekuatan daripada ibu bapa,” katanya.
Namun beliau bersyukur sempat menjaga bapanya, Encik Kasim Daud, sebelum allahyarham meninggal dunia pada 2023 kerana demensia.
“Menempuh detik kehilangan itu juga adalah fasa sukar untuk saya menuju ke penamat PhD lapan bulan kemudian,” katanya.
Namun pengorbanan orang sekeliling menjadi sumber utama kekuatannya.
Menurutnya, suami beliau, Dr Mohd Hanafi Abdul Habir, 41 tahun, sanggup meninggalkan dua klinik perubatan yang diusahakannya di Malaysia untuk menemaninya ke Britain, malah mengambil alih semua urusan rumah tangga supaya beliau dapat memberi tumpuan penuh pada kajian.
“Anak saya, Hannah Khayla, sembilan tahun, ikut ke Britain sejak umur empat tahun hingga lapan tahun.
“Dia pernah tanya kenapa saya tiada masa untuk bermain dengannya.
“Ini sangat menyentuh hati saya, dan jadi penyebab saya bertekad mahu menamatkan PhD dengan sebaik mungkin,” kongsi Dr Hanis.
Tidak ketinggalan, ibunya, Cik Asnah Husim, 76 tahun, yang menjaga ayah pesakit demensia tetap setia bangun di setiap sepertiga malam mendoakan kejayaan anaknya.
Sudah tentu, kata Dr Hanis, sokongan kuat daripada pihak Usim yang menyediakan kemudahan serta elaun keluarga untuk meringankan kos hidupnya di luar negara, turut menjadi pendorong kuat bagi beliau berusaha melunaskan tesis dengan cemerlang.
Kini, selepas tamat pengajian, Dr Hanis menyasarkan untuk membawa pulang kepakaran dalam bidang metabolisme bayi pramatang ke Malaysia.
Beliau sudah berhubung dengan Singapore Lipidomics Incubator (Sling), sebuah pusat penyelidikan bertaraf antarabangsa dalam bidang lipidomik, untuk bekerjasama dalam penyelidikan yang disasarkannya pada 2026.
“Sejak saya di Britain, saya dah kenal pasti satu institusi di Singapura dikenali sebagai Sling yang sangat aktif dalam bidang lipidomik dan berkait rapat dengan kajian saya.
“Sling memiliki kemudahan mengikut piawaian antarabangsa untuk kajian lipidomik.
“Sebenarnya saya telah dijemput oleh Sling pada Februari lalu untuk hadiri satu persidangan antarabangsa mengenai lipidomik, tetapi pada masa itu saya ada komitmen lain, jadi saya tidak dapat hadir dan berharap dapat lanjutkan kerjasama pada 2026 nanti,” jelas ibu seorang anak itu.
Dr Hanis berhasrat menulis buku bagi menyebarkan teknik serta ilmu dalam bidang kajian itu yang belum wujud di Malaysia.
“Kalau anda ada cita-cita sambung belajar, teruskan. Jangan ragu. PhD bukan sekadar untuk diletakkan di rak, tetapi perjalanan yang boleh memberi impak besar kepada masyarakat.
“Kalau mahu bawa perubahan, carilah ilmu dan jangan berhenti belajar,” pesan Dr Hanis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg