KUALA TERENGGANU: Penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terbunuh selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kereta yang sedang menuruni bukit berhampiran simpang empat, Jalan Kemajuan, di sini, pada 5 Januari.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Cik Syakirah Hanan Mazli, 25 tahun, yang berasal dari Taman Perdana Ayer Hitam, Johor, dikatakan dalam perjalanan ke Jalan Bukit Kecil, 1.38 tengah hari.
Mangsa kemudian membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar warna hijau.
Ketika membelok, kereta dipandu mangsa dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki ketika menuruni bukit.
Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu, Encik Mohd Salleh Abdullah, berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.39 tengah hari.
“Sebaik tiba, kita dapati pemandu lelaki yang identitinya belum dikenal pasti sudah dikeluarkan orang ramai dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Kita terpaksa memastikan keadaan mangsa yang tersepit bebas daripada aliran elektrik berikutan tiang elektrik tumbang selepas dirempuh kereta dalam kemalangan itu,” katanya, lapor Harian Metro.
Encik Mohd Salleh berkata pihaknya juga terpaksa melakukan pembersihan aliran petrol sebelum menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mangsa yang meninggal dunia dikeluarkan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Difahamkan, kemalangan itu berpunca daripada pemandu yang datang dari arah bandaraya Kuala Terengganu, yang memecut kenderaannya dan melanggar lampu isyarat merah.
“Mangsa dirempuh kereta dipandu lelaki berkenaan ketika membelok ke kanan selepas lampu isyarat hijau menyala,” katanya.
Sementara itu, bapa arwah Cik Syakirah, Encik Mazli Yusoh, 51 tahun, berkata pemergian anaknya, yang sarat dengan komitmen bekerja dan belajar, disifatkan sebagai ketentuan Ilahi selepas arwah keletihan mengejar tanggungjawab dunia.
Beliau juga berdoa supaya anaknya itu ‘berehat’ dengan tenang di alam abadi selepas terkorban dalam kemalangan jalan raya.
“Dia (arwah) sudah penat bekerja, dalam seminggu tidak pernah rehat. Jadi Allah swt panggil dia. Allah swt rehatkan dia, rehat dari kesibukan dunia.
“Syukur, jenazah arwah juga dalam keadaan sempurna,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Bedah, pada 12.30 tengah malam tadi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg