Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penutupan 6 pulau di Mersing langkah pelihara biodiversiti laut

Sep 23, 2025 | 11:19 AM
Penutupan pulau, Mersing, pelihara biodiversiti laut
Pengusaha bot pelancong, resort dan pengunjung tidak perlu risau kerana destinasi popular lain seperti Pulau Besar, Pulau Rawa, Pulau Tengah dan Pulau Tinggi, kekal dibuka dengan pelbagai kegiatan sesuai. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Langkah menutup sementara enam buah pulau di perairan Mersing disifatkan sebagai usaha penting bagi menjamin keselamatan pelancong serta memelihara biodiversiti hidupan laut buat generasi akan datang.

Pegawai Daerah Mersing, Encik Jamil Hasni Abdullah, berkata daerah itu mempunyai 97 kepulauan dan batuan, termasuk 47 pulau serta 50 batuan, dengan penduduk seramai 80,100 orang.

Demikian menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2020.

“Keunikan Mersing bertumpu kepada pelancongan dan perikanan yang menjadi nadi ekonomi masyarakat tempatan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Penutupan itu membabitkan Pulau Harimau, Pulau Gual, Pulau Mensirip, Pulau Mertang Timur, Pulau Mertang Barat dan Pulau Mertang Tengah.

Beliau menjelaskan daripada enam pulau yang ditutup baru-baru ini, hanya dua – Pulau Harimau dan Pulau Mensirip – terlibat secara langsung dengan kegiatan air.

Pulau-pulau lain masih boleh dikunjungi seperti biasa.

“Pengusaha bot pelancong, resort, dan pengunjung tidak perlu risau kerana destinasi popular lain seperti Pulau Besar, Pulau Rawa, Pulau Tengah dan Pulau Tinggi kekal dibuka dengan pelbagai aktiviti sesuai,” jelasnya.

Encik Jamil berkata Mersing kini mencatat pertumbuhan positif dalam sektor pelancongan, berdasarkan data Majlis Daerah Mersing melalui Mersing Tourism Operator System (MeTOS).

“Kemasukan pelancong meningkat sejak April hingga Ogos, dan setakat Ogos 2025, seramai 361,624 orang pengunjung direkodkan. Angka ini dijangka terus meningkat,” katanya.

Menurutnya, kegiatan perairan di Mersing lazimnya hanya beroperasi sekitar lapan bulan, iaitu dari Mac hingga Oktober, memandangkan faktor keselamatan semasa musim monsun.

“Oleh itu, penutupan beberapa pulau bukanlah perkara baru. Ia dilaksanakan demi keselamatan dan pemuliharaan,” tegasnya.

Encik Jamil menambah daerah itu mempunyai 355 pengusaha bot pelancongan dan pengangkutan berdaftar dengan Jabatan Laut Mersing, dan pihak kerajaan serta agensi berkaitan akan terus memantau serta mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang atau akta yang berkaitan.

“Pelaksanaan ini selaras dengan tema Mersing Pelancongan Lestari. Ia bertujuan memastikan sumber alam sekitar terus dipelihara, selain menjamin keselamatan dan kebersihan yang menjadi asas kepada industri pelancongan berdaya tahan,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam satu kenyataan pada 21 September berkata aspek pemeliharaan alam sekitar dan keselamatan pelancong di kepulauan Mersing perlu diberikan perhatian utama demi kelestarian industri pelancongan negara.

Beliau berkata kepulauan Mersing merupakan antara aset pelancongan paling bernilai, justeru pengurusan yang lebih teratur dan berkesan perlu dilaksanakan bagi memastikan khazanah semula jadi sentiasa dipelihara.

“Baru-baru ini saya melihat paparan media sosial menunjukkan keadaan bot pelancong sesak serta jumlah pengunjung terlalu ramai.

“Oleh itu, pemuliharaan biodiversiti adalah amat penting agar keindahan pulau-pulau ini dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

“Pengurusan yang berkesan bukan sahaja memastikan keindahan pulau-pulau Mersing terus terpelihara, malah menjamin kesejahteraan rakyat serta kelangsungan industri pelancongan negara,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg