Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukan lasak antarabangsa jadi tumpuan Tahun Melawat Johor 2026

Acara sebegitu terbukti dapat tarik minat peserta pelbagai negara; rancakkan ekon masyarakat setempat
Sep 6, 2025 | 5:30 AM
Gunung Arong Challenge (GAC) di Mersing , Sungai Telok Aro
Salah satu cabaran peserta ‘Gunung Arong Challenge’ (GAC) di Mersing ialah meredah muara Sungai Telok Arong. - Foto JABATAN PERHUTANAN NEGERI JOHOR

Acara sukan lasak bertaraf antarabangsa bakal menjadi antara pengisian utama dalam kalendar Tahun Melawat Johor 2026, dengan keyakinan mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu dan seterusnya merancakkan ekonomi tempatan.

Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, berkata penganjuran acara sebegitu terbukti berupaya menarik minat peserta pelbagai negara.

Menurutnya, Johor sudah pun mempunyai rekod kukuh dalam penganjuran acara sukan lasak yang bukan sahaja memberi keseronokan kepada peserta, bahkan membawa limpahan rezeki kepada masyarakat setempat.

“Sebagai contoh, acara Viper Challenge yang diadakan pada 23 Ogos lalu berjaya menarik seramai 3,000 peserta dari pelbagai negara. Hal ini membuktikan Johor mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan sukan,” katanya.

Beliau menambah, Tourism Johor merancang menjadikan penganjuran acara sukan lasak sebagai program tahunan, di samping memberi sokongan kepada pihak lain yang turut menganjurkan acara seumpamanya.

“Yang lebih penting ialah setiap peserta yang datang ke Johor memperoleh pengalaman menyeronokkan supaya mereka kembali lagi pada tahun berikutnya,” katanya.

Edisi sulung Viper Challenge Johor 2025 yang berlangsung di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 3,000 peserta dari 19 negara mengambil bahagian dalam pertandingan sukan halangan terbesar di Asia Tenggara.

Acara itu dianjurkan Muse Group Asia dengan sokongan Tourism Johor serta Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).

Bertema cabaran ikonik dengan halangan baru, perlumbaan itu dibahagikan kepada kategori 7 kilometer (km), 12km, 21km dan juga Viper Kids, yang berlangsung selama dua hari.

Penganjuran itu memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab sukan dan pelancongan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

Antara peserta yang ditemui ialah Encik Yuliyanto, 40 tahun, dari Gymnatic Community Batam.

Menurutnya mereka mendapat maklumat mengenai pertandingan tersebut melalui kenalan dan media sosial sebelum memutuskan untuk menyertainya.

 Encik Yuliyanto dari Gymnatic Community Batam.
 Encik Yuliyanto dari Gymnatic Community Batam. - Foto MUSE GROUP ASIA

“Kami mahu mempromosikan gaya hidup sihat kepada orang ramai. Anggota kumpulan kami ada 40 orang, namun kali ini hanya tujuh orang yang dapat hadir.

“Pengalaman ini amat berharga dan kami berhasrat mahu datang lagi pada tahun hadapan (2026),” katanya.

Peserta dari Singapura, Encik Dzulhilmi Ali, 43 tahun, dari pasukan Teraweights, berkata mereka mula aktif dalam pertandingan seumpama itu selepas tamat sekatan Covid-19 pada 2022.

“Berbanding pertandingan lain, Viper Challenge, lebih murah dan sesuai dijadikan percutian pendek bersama keluarga.

“Kami rasa seronok kerana dapat berlari dan berhalangan bersama rakan serta ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, Encik Ludovic Guyonvarch, 41 tahun, daripada kumpulan Singapore OCR, berkata beliau sudah menyertai Viper Challenge sebanyak 10 kali sejak 2016.

Peserta dari Singapura, Encik Ludovic Guyonvarch, bersama isterinya, Cik Emilie Dion.
Peserta dari Singapura, Encik Ludovic Guyonvarch, bersama isterinya, Cik Emilie Dion. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Setiap perlumbaan ada cabaran berbeza. Bagi saya, pengalaman paling tidak dapat dilupakan ialah Viper Challenge di Selangor pada 2022 yang memperkenalkan banyak halangan baru.

“Saya bersyukur kerana kali ini berjaya menamatkan larian 21km tanpa kecederaan dan meraih tempat pertama kategori Elit Lelaki,” katanya.

Timbalan pengetua sebuah sekolah swasta, Encik Mike Dyer, 39 tahun, pula berkata beliau menyertai pertandingan itu untuk menjaga kesihatan serta menambah kenalan.

“Saya sudah menetap di Johor Bahru selama 11 tahun. Ini kali ketiga saya menyertai Viper Challenge.

“Apa yang saya suka tentang Johor ialah keindahan alam semula jadi dan pelbagai pilihan makanan yang enak, termasuk di Jalan Dhoby.

“Taman Botani yang akan dibuka juga pasti menjadi tarikan baru,” katanya.

Peserta dari Britain, Encik Mike Dyer.
Peserta dari Britain, Encik Mike Dyer. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Selain Viper Challenge, satu lagi acara yang semakin mendapat perhatian ialah Gunung Arong Challenge (GAC) di Mersing.

Edisi keempat acara larian denai itu pada 2025 berjaya menghimpunkan 597 peserta dari 16 negara termasuk Malaysia, Singapura, China, Jepun, Perancis, Indonesia, dan Filipina.

Peserta diuji melalui tiga kategori utama iaitu 10km, 25km dan 35km dengan laluan yang menampilkan keindahan Hutan Simpan Kekal Gunung Arong setinggi 240 meter dari aras laut.

Peserta turut disajikan pemandangan indah pantai Mersing sepanjang larian tersebut.

Peserta dari Singapura, Encik Muhammad Fazly Shah Azman, 30 tahun, berkata pengalaman menyertai GAC amat berbeza berbanding dengan keadaan di Singapura.

Peserta dari Singapura, Encik Muhammad Fazly Shah Azman.
Peserta dari Singapura, Encik Muhammad Fazly Shah Azman. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Di Singapura, tiada laluan bergunung seperti ini. Jadi, latihan di sana tidak sama dengan cabaran sebenar di sini.

“Tahun 2024 saya gagal menamatkan perlumbaan, tetapi kali ini saya berjaya habis. Saya harap dapat menyertai acara ultra-maraton pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Jepun, Cik Yuki Kazama, 31 tahun, pula menyifatkan pengalaman pertamanya menyertai GAC sebagai sesuatu yang mengujakan.

Peserta dari Jepun, Cik Yuki Kazama.
Peserta dari Jepun, Cik Yuki Kazama. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Laluan denai di sini memang sukar tetapi pemandangannya amat cantik. Cabarannya berat, namun berbaloi kerana saya dapat rasai pengalaman unik.

“Saya baru sahaja mula berjinak dalam larian denai, dan berharap dapat menyertai lagi acara di Malaysia pada masa depan,” katanya.

Seorang lagi peserta dari Singapura, Encik Adam Moorman, 44 tahun, memuji penganjuran GAC kerana menyediakan laluan yang pelbagai.

“Larian ini mencabar kerana ada laluan hutan, pantai, jalan raya dan berbatu.

“Bahagian paling sukar ialah ketika cuaca panas terik, namun secara keseluruhannya ia amat menyeronokkan,” katanya.

Pegawai Daerah Mersing, Encik Jamil Hasni Abdullah, berkata peningkatan jumlah peserta berbanding tahun lalu menunjukkan sambutan yang menggalakkan.

Pegawai Daerah Mersing, Encik Jamil Hasni Abdullah.
Pegawai Daerah Mersing, Encik Jamil Hasni Abdullah. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Tahun lalu (2024), hanya 485 peserta dari tujuh negara mengambil bahagian, tetapi kali ini jumlahnya meningkat kepada hampir 600 peserta dari 16 negara.

“Hal ini memberi kesan langsung kepada ekonomi setempat kerana peserta dan pelancong menggunakan kemudahan penginapan, makanan serta membeli barangan di sekitar Mersing,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sentiasa berusaha memperbaiki laluan larian setiap tahun supaya peserta rasai cabaran baru.

“Kami turut mengadakan kerjasama dengan jabatan perhutanan negeri dalam menguruskan permit, dan hasilnya kerajaan negeri menerima lebih RM11,000 ($3,353) hanya daripada kutipan permit bagi acara ini.

“Jumlah itu belum termasuk limpahan hasil kepada pengusaha hotel, rumah penginapan, restoran dan peniaga kecil,” katanya.

Encik Jamil menambah, pihaknya akan memperhebat promosi di peringkat daerah dan negeri menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

“Kami mahu memastikan Mersing bersih dan ceria supaya menarik minat pelancong untuk datang.

“Pihak majlis juga telah memperkenalkan inisiatif tertentu, termasuk memberikan diskaun sewa tapak kepada pengusaha hotel dan pemilik premis supaya kawasan bandar sentiasa terjaga,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg