Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyanyi M’sia, Yasin, dipenjara seumur hidup, dikena 16 sebatan kerana kes dadah

Aug 22, 2024 | 12:51 PM
Penyanyi nasyid dan penggubah lagu Malaysia, Yasin Sulaiman (tengah), digari dan dibawa polis ke Penjara Kajang, Selangor, usai prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan kes dadah.
Penyanyi nasyid dan penggubah lagu Malaysia, Yasin Sulaiman (tengah), digari dan dibawa polis ke Penjara Kajang, Selangor, usai prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan kes dadah. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM (Selangor): Penyanyi nasyid Malaysia, Yasin Sulaiman, terpaksa menghabiskan sisa hidup di penjara apabila dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan atas kesalahan dadah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, pada 22 Ogos.

Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 49 tahun, didapati bersalah atas tiga tuduhan berkaitan dadah yang dihadapinya pada 2022.

Datuk Norsharidah memutuskan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu ke atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Encik Faiz Dziyauddin, yang sebelum ini membebaskan pelantun lagu Mimpi Laila itu daripada tuduhan sama pada November 2023.

Sejurus hukuman dijatuhkan, Yasin yang juga seorang penggubah muzik hadir ke mahkamah kemudian digari oleh pihak polis dan dibawa terus ke Penjara Kajang, Selangor.

“Hari ini hari yang gelap untuk saya,” kata Yasin sebaik dibawa polis, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Yasin yang sempat menyapa media turut menjelaskan akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah berkenaan yang didakwanya sebagai sesuatu yang pelik.

Mengikut tuduhan pertama yang baru, Yasin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, Selangor, kira-kira 5.30 petang, pada 24 Mac 2022.

Bagi tuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Untuk tuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor, pada tarikh sama.

Pada 29 November 2022, penyanyi itu menarik nafas lega selepas dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tiga tuduhan kes dadah. Bagaimanapun, Yasin ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.

Pada 6 Julai 2022, Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan tuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi itu dituduh semula atas tuduhan memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg