ALOR GAJAH: Penyanyi terkenal Malaysia, Nabila Razali, dan ibunya didenda berjumlah RM480 ($144) kerana kesalahan memandu kereta yang tempoh cukai jalannya, atau Lesen Kenderaan Motor (LKM), sudah tamat dan tiada perlindungan insurans.
Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah ibu Nabila, Shamsidah Abdul Rahman, 58 tahun, dan penyanyi itu sendiri melalui ibunya, selepas empat tuduhan dibacakan.
Nabila, yang nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali dan popular melalui lagu seperti ‘Katakan Saja’, ‘Cemburu’ dan Seindah Tujuh Warna Pelangi, tidak hadir di mahkamah.
Dua tuduhan terhadap Nabila, 31 tahun, ialah dia sebagai pemilik sebuah kereta membenarkan Shamsidah menggunakan kenderaan itu di jalan raya walaupun tempoh LKM kereta itu sudah tamat dan tiada perlindungan insurans.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira 11.50 pagi di Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Alor Gajah pada 9 Januari, lapor Kosmo!.
Shamsidah juga dikenakan dua tuduhan, iaitu memandu kereta yang tempoh LKM-nya sudah tamat dan tiada perlindungan insurans pihak ketiga pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM120 bagi setiap kesalahan, atau penjara sehari jika gagal bayar.
Pasangan anak dan ibu itu, yang tidak diwakili peguam, membayar denda tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg