KOTA BHARU: Langkah kerajaan Malaysia melaksanakan penyasaran subsidi diesel dengan mengapungkan harga bahan api itu bermula 10 Jun lalu, berjaya mengekang kegiatan penyeludupan diesel ke negara jiran sebagaimana berlaku sebelum ini.
Peniaga di selatan Thailand yang menyeludup dan menjual diesel bersubsidi mengakui mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan berikutan langkah kerajaan Malaysia memperkenalkan penyasaran bahan api berkenaan.
Kebanyakan peniaga yang mengendalikan gerai di sepanjang jalan utama di bandar Sungai Golok, Narathiwat dan wilayah Yala, Thailand, mendakwa perkara itu berlaku seminggu sebelum Kerajaan Malaysia melaksanakannya pada 10 Jun lalu.
“Langkah Kerajaan Malaysia untuk menyasarkan subsidi diesel menyebabkan harga bahan api di negara itu meningkat daripada RM2.15 ($0.61) seliter kepada RM3.35 seliter.
“Jika sebelum ini, kami menjual diesel Malaysia antara RM3.20 hingga RM3.45 seliter, tetapi sekarang, kami terpaksa menaikkan sedikit harga kerana menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan daripada pembekal utama kami di wilayah selatan,” kata peniaga diesel yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Cu, lapor Berita Harian Malaysia.
Lelaki berusia 70 tahun itu yang mengusahakan gerai di Narathiwat berkata dia dan peniaga Thailand lain kini menjual diesel Malaysia antara RM4 hingga RM4.50 seliter kepada pemandu Thailand.
Beliau percaya peningkatan rondaan sempadan oleh agensi penguatkuasaan Malaysia terhadap penyeludupan diesel juga menjadi punca kekurangan bekalan.
Sementara itu, tinjauan di Takbai dan Sungai Golok menunjukkan jumlah gerai di sepanjang jalan utama yang menjual minyak Malaysia menunjukkan penurunan secara drastik.
Jika sebelum ini terdapat kira-kira 40 gerai, tetapi baru-baru ini jumlahnya kurang daripada 30.
Pemandu Thailand membeli minyak Malaysia kerana harganya yang murah berbanding dijual di negara mereka.
Kerajaan Malaysia menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun lalu dan penetapan harga bahan api itu mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism’ (Mekanisma Penetapan Harga Automatik), mengikut harga semasa pasaran.
Penyasaran subsidi diesel itu dijangka menjimatkan RM4 bilion serta memberi ruang fiskal lebih luas kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan rakyat.
Berikutan itu, bagi mengurangkan kesan harga diesel baru, kerajaan memperkenalkan program bantuan tunai komoditi Budi Madani individu dan Budi Madani Agro yang membabitkan 30,000 individu yang layak menerima RM200, selain bantuan diesel bersubsidi untuk industri dan sektor tertentu bagi mengelak kenaikan harga barang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg