PUTRAJAYA: Sebanyak 10 syarikat yang mengumumkan kenaikan harga perkhidmatan dan barangan pasca pengapungan harga diesel di Malaysia bermula 10 Jun lalu, telah dipanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan lanjut.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata 10 syarikat itu masing-masing membabitkan sektor pengangkutan dan bahan binaan, manakala masing-masing dua meliputi sektor makanan dan minuman serta sektor sewaan jentera, dipanggil untuk memberikan penjelasan mengenai kewajaran tindakan itu.
Mengulas lanjut, katanya notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sudah diberikan kepada semua syarikat terbabit, dengan dua daripadanya sudah dipanggil pada 13 Jun disusuli syarikat lain yang terlibat.
Menurutnya, berdasarkan semakan dan siasatan awal mendapati permohonan fleet card oleh empat daripada 10 syarikat berkenaan sudah pun diluluskan, namun mereka tetap mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.
“Baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai layak menerima subsidi diesel di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sehubungan itu, Datuk Armizan berkata KPDN memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 ($143,420) bagi perbadanan atau syarikat.
Individu didapati bersalah pula boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bermula 10 Jun lalu, kerajaan Malaysia melaksanakan rasionalisasi subsidi, yang mana harga diesel di Semenanjung Malaysia diapungkan mengikut harga runcit semasa RM3.35 seliter, berbanding harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter sebelum ini, bertujuan untuk penyasaran subsidi.
Bagaimanapun, beberapa sektor dan industri yang layak masih menerima kemudahan diesel bersubsidi, termasuk kenderaan logistik, untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, selain pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba, serta nelayan.
Menyusuli perkembangan itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengulangi penegasan bahawa mana-mana pihak yang sengaja menaikkan harga barangan atau perkhidmatan biarpun mendapat subsidi diesel, akan dikenakan tindakan tegas oleh kerajaan, termasuk dibatalkan lesen perniagaan mereka.
Beliau berkata tindakan terbabit harus diambil kerana penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Datuk Anwar berkata dengan penjimatan daripada penyasaran subsidi yang dilaksanakan akan dikembalikan kepada rakyat seadilnya, khususnya bagi menampung keperluan pengangkutan awam dan suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg