Digantung 6 tahun, Hishamuddin sedia sahut seruan kembali pada Umno
Digantung 6 tahun, Hishamuddin sedia sahut seruan kembali pada Umno
Mantan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang digantung keahlian daripada parti sejak 2023, sedia menyahut seruan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk kembali berjuang dalam parti itu.
Datuk Hishammuddin, yang juga Ahli Parlimen (AP) Sembrong (Johor), menegaskan tidak pernah keluar parti meskipun telah digantung selama tiga tahun.
“Tiga tahun digantung, saya juga tidak pernah serang parti. Sebelum ini Majlis Tertinggi (Umno) telah membuat keputusan untuk menggantung saya.
“Jadi jika ikhlas pendirian pucuk pimpinan parti untuk menarik balik penggantungan terhadap diri saya, saya akan kembali terus berjuang demi parti Umno,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada malam 12 Mac.
Beliau, yang juga mantan menteri, berkata penting untuk beliau membuat penjelasan mengenai kesediaannya kembali kepada Umno selepas menerima banyak pertanyaan mengenai kenyataan Datuk Ahmad Zahid, yang mahu ahli Umno yang dipecat, digantung atau sudah meninggalkan parti untuk kembali.
“Saya berterima kasih atas apa yang telah dinyatakan oleh Presiden berhubung keputusan pimpinan parti untuk menerima kembali mereka yang telah pun dipecat, digantung atau sudah keluar parti tanpa syarat.
“Jadi, hari ini saya nak nyatakan bagi diri saya sendiri itu bukan satu perkara yang sukar kerana saya tak pernah keluar parti atau menyerang parti,” katanya.
Datuk Hishamuddin digantung keahlian daripada Umno selama enam tahun sejak 2023.
Penggantungannya dikatakan kerana beliau adalah individu yang terbabit memujuk sembilan AP Barisan Nasional (BN) supaya menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk diangkat sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada November 2022.
Tindakan yang dibuat ketika Malaysia berdepan keadaan Parlimen tergantung berikutan tiada parti yang memenangi majoriti dalam PRU15 itu, dilaporkan dibuat tanpa berbincang dengan parti terlebih dulu.
Selain beliau, beberapa pemimpin lain telah dipecat daripada keahlian parti, antaranya Encik Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno ketika itu, dan Tan Sri Noh Omar sebagai Pengerusi Umno Selangor dan Ketua Umno bahagian Tanjung Karang, Selangor, atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen PRU15.
Pada 6 Mac lalu di pentas Perhimpunan Agung Tahunan Umno, Datuk Ahmad Zahid mengumumkan inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang bertujuan membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.

