SEPANG (Selangor): Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang pulang sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, disambut dengan penuh mesra oleh para penyokong susulan perkembangan yang berlaku di negeri itu.

Tuanku Muhriz, yang sebelum itu berada di luar negara, mengucapkan terima kasih kepada kira-kira 200 penyokong yang hadir dan menyatakan bahawa sokongan mereka mendorong beliau untuk kembali ke negeri itu bagi menyelesaikan kemelut berhubung kedudukan beliau sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Terima kasih atas sokongan padu anda.

“Saya akan balik istana untuk selesaikan masalah ini,” kata Tuanku Muhriz.

Kenyataan itu menyusul sejurus beliau tiba di hadapan penyokong dan rakyat di hadapan Bilik Khas, Tingkat 5, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 September.

Beliau berkata demikian sebaik diajukan soalan oleh wartawan yang hadir membuat lliputan ketibaan beliau di KLIA.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas sokongan yang diberikan termasuk yang menyambut ketibaannya di KLIA malam 17 September.

Tuanku Muhriz juga berkata beliau akan pulang ke Istana Seri Menanti di Negeri Sembilan, lapor Kosmo!.

Sebelum ini, barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Laungan ‘Daulat Tuanku’ mengiringi keberangkatan tiba beliau di KLIA pada malam 17 September.

Terbaharu, MalaysiaGazette melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) berpandangan, pengumuman ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 15 September lalu berhubung kedudukan Tuanku Muhriz tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

Katanya, Menteri Besar dan MMKN Negeri Sembilan tiada kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Katanya, kesahan dan kesan Proklamasi untuk menurunkan Tuanku Muhriz hendaklah ditentukan menerusi proses Perlembagaan dan undang-undang yang sah, terutamanya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).