KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September, kerajaan dan pemimpin Malaysia menzahirkan ingatan agar rakyatnya terus memperkukuh perpaduan dan bersama menjaga keharmonian negara itu.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan isteri, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menzahirkan ucapan Selamat Hari Malaysia, sambil mendoakan negara itu sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keberkatan Allah, dikurniakan keamanan berpanjangan serta dilindungi daripada segala musibah.

“Rasa syukur atas nikmat perpaduan dan keharmonian yang sekian lama terjalin dalam kalangan rakyat berbilang kaum, serta menjadi asas penting kepada kekuatan dan kestabilan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pula menyeru rakyat supaya menyuburkan semangat toleransi dan sikap saling menghormati tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

“Saya sentiasa mendoakan agar semangat kebersamaan ini terus menjadi pegangan rakyat jelata dalam memelihara kesejahteraan negara agar Malaysia kekal aman, makmur dan bersatu padu untuk generasi kini serta akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, pada 16 September.

Sultan Sharafuddin berkata sambutan pada 16 September setiap tahun adalah peringatan terhadap detik bersejarah pembentukan Malaysia.

“Saya berharap agar tarikh penuh bermakna ini sentiasa dikenang sebagai lambang perpaduan nasional yang menyatukan seluruh rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam sebuah negara yang berdaulat,” tambah hantaran itu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula mengingatkan bahawa Malaysia dibina atas satu waad (ikrar atau janji) iaitu ikatan antara pemerintah dengan rakyat, antara wilayah dengan Persekutuan dan antara kesetiaan dengan keadilan.

“Kita harus mengakui bahawa ada ketika perjalanan negara menyimpang, apabila soal kaum diperalat, jurang wilayah dibiarkan melebar dan perbezaan dijadikan tembok dan garis pemisah.

“Maka, 16 September adalah iltizam atau janji yang mesti sentiasa diperbaharui bahawa tiada wilayah dianggap terpinggir atau pinggiran, tiada kaum berasa terasing dan tiada rakyat tercicir daripada arus kemajuan.

“Laut boleh memisahkan kita, tetapi tidak cita-cita dan harapan kenegaraan,” tulisnya di Facebook pada 16 September.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut meminta rakyat supaya terus memelihara semangat kebersamaan, memperkukuh perpaduan dan menjaga keharmonian sempena sambutan Hari Malaysia 2026.

Menerusi hantaran di media sosial sempena Hari Malaysia, beliau berkata kekuatan negara terletak pada kesatuan rakyat yang terdiri pelbagai bangsa, agama, budaya dan latar belakang.

“Perbezaan yang wujud dalam kalangan rakyat bukan penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan dalam membentuk identiti Malaysia.

“Perjalanan Malaysia sejak 1963 terus mengajar kita bahawa kemajuan dan kesejahteraan hanya dapat dibina apabila kita bergerak bersama, saling menghormati dan menjaga keharmonian yang kita warisi,” katanya.

Sementara itu sambutan Hari Malaysia 2026 disambut meriah dengan pelbagai kegiatan disusun pelbagai pihak di seluruh negara, walau dalam keadaan beberapa kawasan teruk dilanda jerebu yang semakin memburuk.

Antara program yang diadakan pelbagai pihak ialah ‘Keretapi Sarong’, iaitu acara budaya tahunan sempena Hari Malaysia yang menghimpunkan orang ramai berpakaian tradisional dan menaiki pengangkutan awam secara berkumpulan.

Acara lain termasuk program larian dan tarian flash mob (spontan beramai-ramai).

Sambutan rasmi Hari Malaysia pada 2026 diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak, pada malam 16 September.

Tanggal 16 September 2026 menyaksikan genap 63 tahun Persekutuan Malaysia tegak berdiri, menyatukan negeri di Semenanjung bersama Sabah dan Sarawak.