KOTA BHARU (Kelantan): Pasar basah di sekitar Kelantan menjadi tumpuan utama orang ramai yang membuat persiapan akhir bagi menyambut Hari Raya Aidiladha pada 7 Jun, dengan barangan segar seperti ayam, daging lembu, santan serta rempah ratus menjadi pilihan utama pembeli.
Tinjauan di beberapa pasar utama di Kota Bharu dan Pasir Mas mendapati suasana mula sesak seawal 7 pagi apabila penduduk tempatan serta perantau yang baru pulang ke kampung halaman berpusu-pusu membeli barangan keperluan.
Bagi Cik Nur Syaza Aina Mohd Ridzuan, 21 tahun, beliau tiba awal pagi di Pasar Berek 12 bersama ibunya untuk membeli bahan seperti sayur-sayuran, ayam dan daging.
“Kami sengaja datang awal kerana tidak mahu bersesak dengan orang ramai, memandangkan ramai perantau sudah mula balik ke kampung sejak beberapa hari lalu.
“Untuk memudahkan urusan, kami telah menyenaraikan semua barang yang hendak dibeli lebih awal supaya tiada yang tercicir dan kami boleh cepat pulang untuk menyediakan juadah,” katanya.
Seorang pekerja swasta yang baru pulang dari Sepang, Selangor, Cik Rosmani Awang, 45 tahun, pula berkata beliau keluar dari rumah sejurus selepas solat subuh kerana bimbang pasar akan terlalu sesak menjelang tengah hari, lapor Harian Metro.
“Saya bersyukur kami datang awal kerana bilangan pengunjung semakin ramai selepas 8 pagi tadi. Saya dan suami tidak gemar bersesak, justeru memilih waktu pagi untuk membeli barang.
“Tetapi barangan seperti ayam, daging dan santan tetap perlu beratur kerana permintaan tinggi sempena Aidiladha ini,” katanya.
Beliau turut mengakui terdapat sedikit kenaikan harga beberapa barangan keperluan menjelang musim perayaan kali ini, namun ia tidak menjadi isu besar kerana Aidiladha hanya disambut setahun sekali.
“Harga ada sedikit naik tetapi tidak mengapa, sebab kita tetap perlu beli juga untuk menyambut tetamu serta keluarga yang pulang dari jauh,” tambahnya.
Sementara itu, seorang peniaga ayam, Encik Razani Abdullah, 38 tahun, berkata gerainya mula menerima kunjungan ramai pelanggan sejak 5 Jun lagi, dengan jualan ayam meningkat lebih dua kali ganda berbanding hari biasa.
“Biasanya sehari saya hanya menjual sekitar 150 ekor ayam, namun menjelang Aidiladha ini, jumlah ayam yang dijual meningkat kepada 400 ekor sehari kerana permintaan yang tinggi.
“Bekalan ayam pula mudah diperoleh, namun harganya naik sedikit iaitu RM9.40 ($2.86) sekilogram sejak tiga hari lalu berbanding RM8.70 sebelum ini,” jelas Encik Razani.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg