Tidak menjadi kesalahan bagi penyedia haiwan korban menawarkan harga yang lebih mampu milik untuk umat Islam melaksanakan ibadah itu, apatah lagi jika ia bertujuan untuk memudahkan lebih ramai Muslim melakukan ibadah tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Pergas Investment Holdings (PIH), Dr Shamsiah Abdul Karim.
Bahkan, dalam keadaan tertentu, usaha sedemikian boleh menjadi bentuk dakwah dan galakan kepada mereka yang perlu lebih berhemah dalam berbelanja.
Namun begitu, pendekatan seperti potongan harga yang terlalu agresif atau istilah seperti ‘jualan lelong’ perlu ditangani dengan cermat kerana ibadah korban bukan semata-mata satu urus niaga, tambah Dr Shamsiah.
“Korban ialah ibadah sunat yang sangat dituntut bagi mereka yang berkemampuan. Ia melambangkan pengorbanan harta kerana ketaatan kepada Allah, dan matlamat utama adalah untuk mendekatkan diri kepada-Nya sambil memberi manfaat kepada golongan memerlukan,” kata beliau, menjawab pertanyaan Berita Harian (BH).
“Ia mempunyai maruah ibadah yang perlu dijaga agar tidak dilihat sebagai sesuatu yang ringan atau kehilangan nilai kerohaniannya.
“Para penyedia perkhidmatan korban digalakkan untuk mengimbangi antara usaha memudahkan masyarakat dan menjaga kemuliaan ibadah.
“Harga yang berpatutan adalah digalakkan, namun pemasaran dan komunikasi perlu kekal menghormati maksud korban sebagai ibadah yang besar nilainya di sisi Allah,” tambah beliau.
Dr Shamsiah berkata bahawa masyarakat juga, pada masa yang sama, disarankan agar memahami bahawa kemampuan dalam melaksanakan korban bukanlah semata-mata diukur dengan harga yang rendah, tetapi pada kejujuran niat dan keikhlasan hati.
Di Singapura, pasaran swasta penyedia haiwan korban kian rancak, dengan terdapat semakin banyak syarikat yang menawarkan pelbagai pilihan haiwan korban, terutamanya di luar negara, pada harga berbeza-beza.
Dengan persaingan semakin sengit dalam pasaran, ada antara penyedia tersebut menawarkan harga murah yang kompetitif serta meneroka cara penjualan dan pemasaran yang bukan konvensional dan inovatif dalam usaha memikat pelanggan.
Dari segi meraih keuntungan bagi pihak peniaga, Dr Shamsiah menjelaskan bahawa Islam tidak menetapkan kadar tetap bagi keuntungan yang dianggap “halal” atau “berpatutan”, kerana ia bergantung kepada keadaan pasaran, kos perkhidmatan, serta keperluan dan kemampuan masyarakat.
Namun begitu, Islam memberi amaran keras terhadap amalan yang mengambil kesempatan atas keperluan atau kesempitan orang lain, seperti menyembunyikan maklumat harga sebenar, mengenakan caj tersembunyi, atau menaikkan harga secara tidak wajar.
Khusus dalam konteks ibadah korban, Dr Shamsiah berkata ibadah tersebut mempunyai aspek kerohanian yang mendalam, dan ia bukan sekadar perkhidmatan, tetapi satu bentuk pengorbanan dan penyucian jiwa, serta jalan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Maka, penyedia perkhidmatan korban digalakkan agar menetapkan harga secara adil dan jujur, dengan mengambil kira nilai kemasyarakatan yang terkandung dalam ibadah ini,” tambah beliau.
Ditanya mengenai pilihan bayaran ansuran dalam pembelian haiwan korban, Dr Shamsiah menjelaskan bahawa Islam membenarkan pembayaran secara ansuran, selagi urus niaga tersebut tidak melibatkan unsur riba, atau faedah, dan semua terma dinyatakan dengan jelas serta dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Dalam istilah fiqh, kaedah tersebut dikenali sebagai bai‘ bithaman ajil, dan boleh menjadi satu bentuk kemudahan bagi mereka yang memerlukan, tambah beliau.
Walau bagaimanapun, Dr Shamsiah berkata masyarakat juga diingatkan bahawa meskipun ibadah korban adalah ibadah sunat yang sangat dianjurkan, ia hanya bagi mereka yang berkemampuan.
Beliau menekankan bahawa perkara paling penting dalam melaksanakan ibadah adalah keikhlasan dan kejujuran, dan mereka yang masih belum mampu mempunyai pelbagai bentuk sedekah dan amal lain yang juga besar ganjarannya di sisi Allah.
“Tidaklah perlu seseorang itu memaksa diri sehingga menjejaskan keperluan asas hidup sendiri atau keluarga semata-mata untuk melaksanakannya. Jika seseorang tidak mampu, maka mereka tidak berdosa meninggalkannya.
“Bahkan, sekiranya hutang atau komitmen kewangan lain terjejas disebabkan bayaran korban, ibadah tersebut boleh membawa kesan yang tidak diingini dari sudut hukum dan maslahat.
“Oleh itu, setiap individu dinasihatkan untuk menilai kemampuan diri dengan jujur dan membuat pilihan berdasarkan ilmu serta pertimbangan yang seimbang,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg