Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Percubaan sistem tol tanpa palang di M’sia mula Okt

Aug 7, 2025 | 6:46 PM
Malaysia mula laksana pembayaran tol guna pengecaman nombor plat automatik (ANPR) pada Oktober ini.
Malaysia mula laksana pembayaran tol guna pengecaman nombor plat automatik (ANPR) pada Oktober ini. - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang disokong platform digital bersepadu, akan dilaksanakan secara berperingkat di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bermula Oktober ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata sebagai projek rintis, ia membabitkan laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua di Pulau Pinang.

Beliau berkata sistem ANPR adalah langkah awal ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) dalam tempoh dua tahun akan datang, bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol di lebuh raya utama di Malaysia.

“Sistem ini membolehkan pengguna melalui mana-mana lorong sedia ada tanpa perlu berhenti, sekali gus menjanjikan perjalanan lebih lancar dan fleksibel.

“Hari ini saya sendiri sudah mencuba sistem ini di plaza tol dan ia terbukti jauh lebih pantas. Tiada caj dikenakan untuk pendaftaran dan pengguna bebas memilih mana-mana lorong tol,” katanya kepada media selepas demonstrasi pelaksanaan sistem ANPR tanpa palang di Persada Plus, Petaling Jaya, Selangor, pada 7 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Nanta berkata pembangunan sistem itu, hasil kerja pakar tempatan dalam industri lebuh raya dan dilaksanakan sepenuhnya oleh industri tanpa sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.

Sebagai permulaan, beliau berkata sistem itu akan diuji di 13 plaza tol membabitkan 35 lorong sebelum diperluas secara berperingkat ke keseluruhan jajaran Plus.

Katanya sistem ANPR mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan melalui kamera dan membolehkan bayaran tol dibuat secara digital tanpa tunai, selain menyediakan paparan e-invois, semakan transaksi dan pelbagai perkhidmatan mobiliti lain melalui satu platform digital bersepadu.

“Pengguna hanya perlu mendaftar secara dalam talian menggunakan maklumat pengenalan diri, kenderaan dan kaedah pembayaran.

“Selepas nombor pendaftaran dibaca, kadar tol akan ditolak secara automatik dalam akaun yang telah didaftarkan. Jika tiada baki, bayaran akan dituntut kemudian kepada pemilik,” katanya.

Bayaran juga boleh dibuat menerusi aplikasi baharu JustGo, yang menyokong pelbagai kaedah seperti e-dompet, kad bank dan Touch ‘n Go.

Mengulas mengenai ketepatan sistem ANPR, Datuk Nanta berkata sistem itu bukan sekadar mengimbas nombor pendaftaran, malah ia memadankan nombor itu dengan teknologi pengecaman kenderaan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan ketepatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg