Topik diikuti
Pergi ke BHkuPergelangan tangan polis putus ditetak warga asing di Selangor, suspek ditembak mati
PDRM diarah jalankan siasatan menyeluruh dan ambil tindakan tegas
Pergelangan tangan polis putus ditetak warga asing di Selangor, suspek ditembak mati
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis putus pergelangan tangan selepas ditetak seorang lelaki dipercayai warga asing bersenjatakan parang, dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong, Selangor, pada petang 11 November.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata kejadian berlaku kira-kira 7 malam ketika sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke lokasi untuk memeriksa seorang lelaki yang dipercayai mengamuk.
“Ketika pintu rumah itu dibuka, suspek telah bertindak menyerang anggota polis berkenaan dengan dua parang.
“Kejadian menyebabkan seorang daripada anggota polis lelaki Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berusia 26 tahun dan berpangkat lans koperal, putus pergelangan tangan kanan.
“Mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya pada sidang media di Hospital Selayang, Selangor, pada malam 11 November, lapor laman web, Astro Awani.
Datuk Shazeli berkata beberapa anggota bomba dan petugas KKM turut dilaporkan mengalami sedikit kecederaan akibat kejadian itu.
Beliau berkata suspek kemudian bertindak melarikan diri sebelum berjaya dikesan berada di sebuah taman permainan berhampiran kawasan pangsapuri itu pada 8 malam.
“Ketika polis cuba menahan lelaki itu, suspek telah bertindak menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang menyebabkan beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan bagi anggota polis mempertahankan diri.
“Suspek kemudian disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.
Menurut Datuk Shazeli, anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Selayang, Selangor, dan telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan tangan kanannya yang terputus dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Terdahulu, kes berkenaan turut tular melalui media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warga siber.
Dalam pada itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang, menyusuli serangan terhadap anggota polis sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanan putus.
Beliau berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan menyifatkan perbuatan ganas terhadap anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Keselamatan rakyat dan anggota penguat kuasa merupakan keutamaan yang tidak boleh dikompromi, manakala tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa mengira kewarganegaraan atau latar belakang individu,” tambahnya.