Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Pergolakan politik mewarnai landskap 2023 M’sia

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Pergolakan politik mewarnai landskap 2023 M’sia

Jan 08, 2024 | 05:30 AM



Ramai meramalkan politik tanah air akan reda selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022 selepas Parlimen penggal ke-14 menyaksikan pertukaran tiga pentadbiran kerajaan dengan pelantikan tiga Perdana Menteri dalam satu penggal.

Namun, drama politik tidak berakhir selepas PRU15, apabila Parlimen tergantung susulan tiada parti mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan.

Tidak mengambil masa lama, selepas empat hari Parlimen tergantung, maka terbentuk Kerajaan Perpaduan susulan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat sokongan 148 ahli Parlimen.

Datuk Anwar menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 dan pembentukan Kabinet diumumkan pada 2 Disember 2022.

Pada 18 Januari, beliau mengumumkan gagasan ‘Membangun Malaysia Madani’, dirumus bagi mencipta lonjakan baru kepada negara.

Sebelumnya, pada 14 Januari 2023, Umno parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan dalam Perhimpunan Agung, membuat ketetapan menyokong kepimpinan Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ketetapan itu penyataan rasmi Umno selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan, sekali gus bergandingan dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP), seteru politik parti itu sejak sekian lama.

Tahun 2023 disifatkan sebagai tahun ‘pembersihan’ Umno apabila beberapa nama besar parti seperti bekas Ketua Pemuda, Encik Khairy Jamaluddin, dan Ketua Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, dipecat kerana didakwa melanggar disiplin parti.

Turut menerima nasib yang sama adalah lima ahli Umno Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli Umno Bahagian Putrajaya, dua ahli Umno Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli Umno dari Pahang.

Turut dikenakan tindakan disiplin digantung keahlian enam tahun ialah, Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda Umno, Encik Shahril Sufian Hamdan; Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Sokong Anwar sebagai PM

Politik negara turut digegarkan dengan keputusan lima Ahli Parlimen (AP) pembangkang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan kepada Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri. Anehnya, mereka masih kekal sebagai ahli Bersatu.

Nama bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut mewarnai politik tanah air dengan pengumuman peletakan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), kemudian mengumumkan menyokong PN dan dilantik sebagai ahli penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir PN iaitu Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis.

Seorang lagi pemimpin mendapat perhatian dalam arena politik tanah air ialah AP Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan, serta denda RM10 juta ($2.86 juta) selepas didapati bersalah terhadap kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram.

Pemilihan PAS pada Oktober lalu menyaksikan lima jawatan kepimpinan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan mengekalkan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden, manakala Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Presiden dan tiga Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan disandang pada pemilihan parti akan datang, namun ditolak perhimpunan itu.

Tan Sri Muhyiddin dikatakan berbuat demikian kerana faktor kesihatan dan spekulasi menyatakan tindakan itu sebagai memberi laluan kepada Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Namun Tan Sri Muhyiddin kemudiannya menarik balik hasrat tersebut.

Secara keseluruhannya, politik tanah air sepanjang 2023 masih berkocak kesan pasca PRU15, tetapi kewibawaan Datuk Anwar memimpin Kerajaan Perpaduan menonjolkan kesan positif kepada kestabilan politik negara.

Rombakan Kabinet pada 11 Disember lalu antara reformasi terbaru beliau selepas setahun menerajui kepimpinan negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >