Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perhimpunan agung Bersatu fokus perkukuh parti

Nov 22, 2023 | 1:13 PM
FOKUS KUKUH PARTI: Perhimpunan agung parti Bersatu Malaysia pada Khamis akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti itu, kata naib presidennya, Datuk Seri Radzi Jidin.
FOKUS KUKUH PARTI: Perhimpunan agung parti Bersatu Malaysia pada Khamis akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti itu, kata naib presidennya, Datuk Seri Radzi Jidin. - Foto THE STAR

KUALA LUMPUR: Perhimpunan agung tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang bermula Khamis, akan memberi tumpuan kepada pengukuhan parti, kata naib presidennya, Datuk Seri Radzi Jidin.

“Kami masih memuktamadkan tema kami, tetapi fokus perhimpunan ini adalah untuk mengukuhkan parti, bagi memastikan kesinambungan.

“Kita mungkin kalah dalam pilihan raya umum lalu, tetapi sebagai parti berusia tujuh tahun, kita sudah ada pencapaian baik,” katanya, dipetik The Star.

Perhimpunan agung Bersatu itu diadakan tidak sampai sebulan setelah parti pembangkang itu mendapat tamparan hebat apabila empat ahli parlimennya (AP) – iaitu dari Labuan, Kuala Kangsar, Jeli dan Gua Musang – mengalihkan taat setia mereka kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Radzi berkata empat AP itu turut diundang menghadiri mesyuarat tiga hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam.

Bercakap pada sidang media, Datuk Radzi berkata perwakilan parti akan mempunyai budi bicara untuk memilih isu yang ingin diketengahkan.

“Kami tidak menghalang sebarang topik. Kami menyerahkan isu kepada perwakilan kerana kami percaya mereka cukup bijak memilih subjek yang bermanfaat kepada rakyat dan negara.

“Kami berharap mereka akan memberikan hujah yang bermutu semasa sesi perbahasan selepas ucapan presiden,” katanya.

Datuk Radzi juga berkata akan ada pindaan kepada perlembagaan parti.

Ditanya sama ada pindaan ini adalah akibat daripada tindakan AP yang berubah pendirian, Datuk Radzi hanya berkata ia lebih kepada “hal pentadbiran”, dan perhimpunan akan bermula dengan persidangan sayap belia (Armada) dan wanita (Srikandi).

“Pada hari Jumaat, perhimpunan akan dibuka oleh presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kami menjangka kehadiran 2,045 perwakilan dari seluruh negara,” kata Datuk Radzi.

Pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) juga telah diundang sebagai pemerhati.

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang turut berada pada sidang media itu, berkata undangan juga telah dihantar ke misi asing negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan lain-lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg