Warga Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura atas tuntutan pekerjaan di Singapura layak mendapatkan subsidi petrol RON95.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, bagaimanapun berkata mereka belum boleh menikmati subsidi harga petrol RM1.99 seliter ketika ini, sehingga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selesai membangunkan sistem bagi membolehkan golongan terbabit mendaftar untuk mendapatkan subsidi bahan api itu.
Menurutnya, golongan itu awalnya tercicir daripada mendapat manfaat subsidi petrol menerusi program penyasaran subsidi bahan api itu yang dinamakan Budi Madani RON95 (Budi95) bermula 30 September lalu.
Bagaimanapun Encik Loke berkata selepas menerima aduan mengenainya, beliau membangkitkan perkara itu di dalam mesyuarat Kabinet dan Kementerian Kewangan secara prinsip bersetuju memasukkan warga Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura ke dalam senarai layak menerima subsidi bahan api itu.
“Dalam undang-undang Malaysia dan Singapura, seseorang individu itu tidak boleh memegang lesen memandu dua negara.
“Jadi apabila ada warga Malaysia yang bekerja di Singapura seperti pemandu bas, lori dan trak di pelabuhan, mereka perlu mengambil lesen memandu Singapura sebagai satu syarat untuk menjadi pemandu di sana.
“Jadi secara prinsipnya Kementerian Kewangan menerima bahawa mereka layak untuk diberikan subsidi RON95 kerana mereka warga Malaysia, cuma bekerja dan mengambil lesen memandu Singapura.
“Tetapi mekanisme pelaksanaannya perlukan sedikit masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu lagi kerana JPJ tidak dapat menyepadu data daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura yang tertakluk kepada akta perlindungan maklumat peribadi dan perlu membangunkan sistem pendaftaran baru untuk golongan ini,” jelasnya semasa bercakap dengan wartawan pada 30 September.
Encik Loke juga menegaskan bahawa keadaan itu berbeza dengan warga Malaysia yang memandu kenderaan bernombor pendaftaran asing termasuk dari Singapura, yang dikecualikan daripada manfaat Budi95.
“Syaratnya jelas, kalau pemandu warga Malaysia bawa kenderaan nombor pendaftaran asing, mereka tetap tidak layak mengisi petrol RON95.
“Mengapa begitu ialah kerana pertimbangan kita ialah kereta itu didaftarkan di Singapura, cukai eksais dan cukai jualan dibayar kepada pemerintah Singapura, jadi kenderaan itu tidak layak mendapat subsidi. Ini termasuk di sempadan Singapura walaupun pemandunya warga Malaysia.
“Berbeza dengan warga Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura, mereka tinggal di Malaysia, apabila pulang dari kerja memandu kereta dan motosikal didaftarkan di Malaysia, cuma atas permintaan kerja perlu memiliki lesen memandu Singapura,” katanya.
Menerusi Budi95, warga Malaysia mendapat subsidi petrol RON95 pada harga yang diturunkan kepada RM1.99 seliter bermula 30 September, sementara warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran tempatan, dibenarkan mengisi petrol RON95 pada harga tanpa subsidi RM2.60 seliter.
Kenderaan bernombor pendaftaran asing tetap tertakluk kepada peraturan sedia ada yang sudah berkuat kuasa sebelum ini iaitu hanya dibenarkan mengisi petrol RON97.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg