Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkukuh JS-SEZ, kenaikan duti setem hartanah warga asing warnai Belanjawan 2026

Anwar bentang Belanjawan 2026 dengan jumlah peruntukan RM470b ($144.17b) – terbesar dalam sejarah
Oct 20, 2025 | 5:30 AM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri), ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada sidang Dewan Rakyat 10 Oktober lalu di Parlimen Malaysia.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri), ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada sidang Dewan Rakyat 10 Oktober lalu di Parlimen Malaysia. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Pada 4 petang 10 Oktober lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen dengan jumlah peruntukan RM470 bilion ($144.17 bilion) – terbesar dalam sejarah dan lebih tinggi berbanding RM452 bilion bagi Belanjawan 2025. 

Datuk Anwar bukan saja menarik perhatian warga Malaysia yang menantikan detik pembentangan itu dengan berteka-teki warna baju Melayu yang akan dipakainya, bahkan juga mesej yang dibawa di sebalik mengetengahkan angka besar itu – kerajaan berusaha mengekalkan disiplin fiskal sambil memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terjejas.

Pembentangan belanjawan itu juga menarik perhatian kerana daripada jumlah keseluruhan RM470 bilion yang diumumkan, RM419.2 bilion merupakan perbelanjaan sebenar kerajaan yang merangkumi kos operasi dan pembangunan, manakala selebihnya datang daripada pelaburan oleh syarikat berkaitan kerajaan serta badan berkanun. 

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri berdiri) ,ketika membentangkan Belanjawan Malaysia 2026 di Parlimen, pada 10 Oktober lalu.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri berdiri) ,ketika membentangkan Belanjawan Malaysia 2026 di Parlimen, pada 10 Oktober lalu. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Belanjawan kali ini dibentang dalam suasana Malaysia berdepan tekanan cabaran ekonomi sejagat dan keperluan domestik yang semakin mendesak.

Namun, tumpuan utama masih pada isu rakyat meliputi kos sara hidup, subsidi bersasar dan keperluan mewujudkan peluang pekerjaan bermutu. 

Pada masa yang sama, Belanjawan 2026 turut menandakan anjakan ke arah strategi ekonomi yang lebih bersepadu dan bersifat serantau. 

Dalam ucapannya, Datuk Anwar menegaskan bahawa Malaysia perlu tampil sebagai jaguh ekonomi rentas sempadan, dengan memanfaatkan kedudukan strategik di tengah-tengah Asia Tenggara yang sedang berkembang pesat.

PERKUKUH JS-SEZ

Bagi pemerhati serantau, tumpuan Belanjawan 2026 bukan hanya pada angka, malah bagaimana dasar Malaysia akan mempengaruhi hubungan ekonomi rentas sempadan, terutama dengan Singapura, rakan dagang dan jiran terdekat yang sedang memperkukuh kerjasama menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menurut Datuk Anwar, pembangunan bersama di wilayah sempadan serta pembentukan rangkaian prasarana serantau bukan saja membuka pasaran baru, bahkan mampu menghubungkan Malaysia dengan pusat pertumbuhan ekonomi jiran. 

Di sinilah Johor memainkan peranan penting sebagai pintu gerbang ekonomi yang strategik menghubungkan Malaysia dan Singapura melalui JS-SEZ dan berjaya membina keyakinan pelabur. 

Usaha membangunkan JS-SEZ sejak setahun lalu sudah menunjukkan hasil nyata, tambah Datuk Anwar. 

“Bagi separuh pertama 2025, zon itu merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM37.1 bilion, bersamaan 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan Johor, selain tambahan komitmen baru bernilai RM29 bilion,” katanya dalam pembentangan itu.

Angka itu, kata Datuk Anwar, bukan saja mencerminkan minat pelabur terhadap wilayah selatan, malah tahap keyakinan terhadap kerjasama dua hala yang lebih kukuh.

Di bawah daya usaha itu, pelbagai usaha dilipatgandakan bagi memperkasa ekosistem pelaburan di JS-SEZ. 

“Antaranya, penubuhan Iskandar Malaysia Facilitation Centre bagi mempercepat urusan pelaburan dengan sokongan Johor Super Lane, yang bertujuan mengurangkan tempoh kelulusan pihak berkuasa tempatan. 

“Dalam masa sama, Majlis Pembangunan Bakat Johor, diwujudkan untuk menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan industri bagi memperluas program pembangunan bakat, peningkatan kemahiran, serta penempatan kerja bergaji tinggi,” katanya.

Tambahan peruntukan RM200 juta kepada Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) di bawah Belanjawan 2026 juga akan memberi nilai tambah dan memanfaatkan perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia di JS-SEZ.

Sebagaimana dilaporkan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menjelaskan pembiayaan itu membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh SME Malaysia di JS-SEZ, khususnya yang menyumbang kepada pengukuhan ekosistem perindustrian rentas sempadan antara Johor dengan Singapura.

Pakar ekonomi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
Pakar ekonomi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai. - Foto ihsan PROFESOR EMERITUS DR BARJOYAI BARDAI

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berpandangan hubungan rentas sempadan dengan Singapura menerusi JS-SEZ memberi kelebihan strategik – bukan sekadar dari segi pelaburan, bahkan juga pemindahan teknologi, penyelidikan dan pengembangan (R&D) serta pergerakan tenaga kerja mahir.

DUTI SETEM HARTANAH BAGI PEMBELI ASING

Satu lagi inti pati yang menarik perhatian dalam Belanjawan 2026 adalah langkah kerajaan Malaysia menaikkan kadar duti setem ke atas pindah milik hartanah kediaman oleh warga asing dan syarikat milik asing kepada kadar rata 8 peratus, berbanding 4 peratus sebelum ini. 

Inisiatif itu, tambah Datuk Anwar, adalah bagi memastikan pasaran hartanah kekal berdaya saing selain dapat mengawal kenaikan harga rumah demi manfaat rakyat.

Bagaimanapun, pendekatan itu mendapat reaksi kurang memberangsangkan daripada penyelidik pasaran hartanah, CIMB Securities.

Ia melihat Belanjawan 2026 sebagai sedikit negatif bagi sektor hartanah menerusi cadangan kenaikan duti setem ke atas pembelian hartanah oleh warga asing.

Dalam satu nota, firma itu menyatakan walaupun pembelian oleh warga asing hanya merangkumi 0.6 peratus atau 1,459 unit daripada jumlah keseluruhan urus niaga hartanah kediaman pada 2024, langkah menaikkan kadar duti setem bagi pindah milik hartanah melibatkan bukan warga dan syarikat asing mungkin melemahkan sentimen dalam sektor tersebut.

Namun, Profesor Dr Barjoyai, berpandangan ia langkah tepat bagi kerajaan Malaysia menambah sumber pendapatan baru tanpa menjejas kesejahteraan rakyat, malah selari dengan matlamat mengurangkan defisit fiskal.

“Meningkatkan cukai kepada warga asing yang membeli hartanah adalah pilihan realistik, tetapi mungkin pada satu pihak, terutama pemain sektor hartanah, ia tidak selari dengan skim Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) yang menggalakkan warga asing membeli hartanah di Malaysia,” katanya. 

Beliau juga berkata peningkatan duti setem kepada 8 peratus itu juga tidak akan membebankan berasaskan keupayaan pembeli termasuk dari Singapura untuk memiliki hartanah di Malaysia.

“Contohnya kalau warga Singapura yang membeli rumah di Malaysia, mereka ada keupayaan untuk beli dan kenaikan kadar duti setem ini tidak begitu membebankan berdasarkan kadar tukaran wang,” terangnya.

PELEPASAN CUKAI PELANCONGAN DOMESTIK

Antara satu lagi inti pati menarik dalam Belanjawan 2026 adalah pelepasan cukai pendapatan individu baru sebanyak RM1,000 bagi perbelanjaan pelancongan dan riadah dalam negara, sebagai usaha merancakkan semula kegiatan pelancongan domestik.

Sektor pelancongan Malaysia yang kaya dengan keindahan pulau perangingan wajar diteroka lebih meluas oleh warganya.
Sektor pelancongan Malaysia yang kaya dengan keindahan pulau perangingan wajar diteroka lebih meluas oleh warganya. - Foto LAMAN WEB MAI SINGGAH

Selepas beberapa tahun Malaysia menyaksikan pergerakan keluar ratusan ribu warganya untuk melancong ke luar negara terutama negara jiran, Profesor Dr Barjoyai menyifatkan ia sebagai langkah penting sebelum trend baru dalam kalangan rakyat Malaysia itu sukar dibendung.

Menurutnya, melancong ke luar negara terutama ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia sudah menjadi satu gaya hidup baru buat warga Malaysia, berasaskan kemampuan kewangan dan kadar tukaran wang yang memberangsangkan.

“Dianggarkan kira-kira 200,000 rakyat Malaysia berbelanja hampir RM50 juta di Thailand pada cuti panjang tertentu.

“Ini amat merugikan kerana wang ini mampu menjadi penggerak ekonomi jika dibelanjakan dalam negara,” katanya.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin. - Foto BUMITRA

Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin, berkata insentif itu dapat mendorong rakyat Malaysia menghargai sektor pelancongan tempatan.

“Dengan lebih ramai memilih destinasi dalam negara, permintaan untuk penginapan, makanan, aktiviti rekreasi dan produk buatan tempatan meningkat.

“Ini seterusnya merancakkan sektor pelancongan domestik yang menjadi penyumbang penting kepada Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.

“Inisiatif pengecualian cukai ini juga sejajar dengan matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026 dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang dinamik dan lestari.

“Keseluruhan usaha kerajaan menerusi pengecualian cukai ini mencerminkan pendekatan kerajaan yang menggabungkan insentif ekonomi menerusi pelancongan dengan pembangunan komuniti dengan menanam kesedaran tentang kepentingan menyokong perniagaan tempatan dan produk Malaysia,” katanya kepada BH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg