PETALING JAYA: Keselesaan pengembara harus menjadi keutamaan bagi lapangan terbang dan syarikat penerbangan, namun pemain industri pelancongan Malaysia menyatakan peningkatan dalam pengurusan keselamatan dan trafik di lapangan terbang tempatan juga perlu menjadi tumpuan.
Presiden Persekutuan Pelancongan Malaysia (MTF), Datuk Tan Kok Liang, berkata sektor pelancongan, salah satu pemacu utama ekonomi negara itu, harus mengutamakan peningkatan perjalanan penumpang.
“Mengurangkan masa menunggu adalah penting memandangkan penekanan Malaysia terhadap pelancongan sebagai kegiatan ekonomi utama.
“Tiada siapa yang suka menunggu bagi tempoh lama di kaunter imigresen, terutamanya selepas penerbangan yang lama,” katanya.
Ulasan Encik Tan itu sebagai respons kepada pelaksanaan elemen mutu Perkhidmatan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang direka untuk memastikan penambahbaikan berterusan di Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau juga menekankan bahawa penambahbaikan di lapangan terbang mesti termasuk peningkatan keselamatan, merujuk kepada insiden menembak di KLIA yang berlaku pada 14 April, yang menyaksikan seorang orang awam menceroboh lapangan terbang itu dengan pistol dan menembak seorang mangsa.
Beliau mencadangkan Mavcom menjalankan audit dan penilaian keselamatan secara berkala untuk mengenal pasti kelemahan dalam langkah keselamatan semasa, serta mengambil tindakan pembetulan seperti yang diperlukan.
“Meningkatkan keselamatan lapangan terbang dengan menempatkan kakitangan tambahan di tempat-tempat penting, termasuk pintu masuk, pintu keluar, terminal dan kawasan tuntutan bagasi, boleh membantu mencegah risiko ancaman.
“Perlu ada anggota keselamatan menjalankan pemeriksaan rambang dan menggunakan teknologi canggih bagi mengesan kegiatan mencurigakan dengan lebih berkesan,” tambah Encik Tan, lapor The Star.
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Encik Nigel Wong, pula berkata pihak berkuasa berkaitan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu bekerjasama untuk memastikan kaunter imigresen yang lebih cepat dan cekap untuk menangani kejadian beratur panjang.
Beliau berkata adalah penting bagi pihak berkuasa untuk meningkatkan pengurusan trafik, terutama bagi syarikat pelancongan yang menerima masuk kumpulan pelancong.
Pihak berkuasa juga perlu memastikan bahawa penjual agresif dan penyamar yang menyamar sebagai anggota pihak berkuasa ditangani dengan segera, bagi mengelakkan pengembara daripada diganggu, dikelirukan atau ditipu sebaik tiba di sini,” kata Encik Wong.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MTAA), Datuk Dr Mohd Khalid Harun, memuji langkah Mavcom mahu menambah baik masa menunggu penumpang.
Beliau mencadangkan agar lapangan terbang dan syarikat penerbangan lain mengikut jejak langkah untuk menaik taraf perkhidmatan mereka sejajar dengan pengumuman itu.
“Mereka yang terlibat dalam proses itu harus menimbangkan untuk menaik taraf dan meningkatkan perkhidmatan mereka bagi meningkatkan keselesaan penumpang, yang akan membantu melicinkan proses beratur,” ujarnya.
Di George Town, Pulau Pinang, pihak berkepentingan menyatakan bahawa perkhidmatan yang disediakan di semua lapangan terbang di Malaysia perlu dipertingkatkan.
Satu bidang tumpuan utama ialah pemodenan prasarana dan kemudahan lapangan terbang, kata Pengerusi Matta Pulau Pinang, Cik Carolyn Leong.
“Banyak lapangan terbang di Malaysia menghadapi cabaran berkaitan prasarana yang ketinggalan zaman, termasuk pencahayaan landasan yang tidak mencukupi, bangunan terminal yang semakin tua dan keupayaan respons kecemasan yang terhad.
“Kekurangan ini bukan sahaja menjejas keselamatan penumpang tetapi juga menghalang keupayaan lapangan terbang untuk mengendalikan permintaan trafik udara yang semakin meningkat dengan berkesan,” katanya.
Cik Leong berkata selain perihal pemodenan, keselamatan merupakan satu lagi elemen penting untuk dipertingkatkan.
Beliau berkata kehadiran anggota keselamatan memainkan peranan penting dalam memupuk keyakinan pengembara.
Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) cawangan Pulau Pinang, Datuk Tony Goh, yakin Mavcom sedang mencari jalan untuk menambah baik kemudahan di semua lapangan terbang di negara ini.
“Kami gembira Mavcom sedang mengkaji bidang kritikal dan telah melaksanakan inisiatif untuk menambah baik pengalaman lapangan terbang bagi pengembara,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg