PUTRAJAYA: Pengunjung dari 36 lagi negara berisiko rendah dibenarkan menggunakan sistem pagar automatik (Autogate) di semua pintu masuk Malaysia yang mempunyai kemudahan itu mulai 1 Jun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata antara negara itu adalah semua negara Kesatuan Eropah (EU), Bahrain, Qatar, Oman, Jordan, China, Canada, Hong Kong dan Taiwan.
“Tahun lalu (2023) kami umumkan 10 negara berisiko rendah boleh melalui Autogate, dan berkuat kuasa 1 Jun ini, kami buka kepada 36 negara lagi, menjadikan semuanya 46 negara yang boleh menggunakan kemudahan berkenaan.
“Inisiatif ini membolehkan pemeriksaan di pintu masuk lebih cepat dan dipermudahkan tanpa kompromi elemen keselamatan, sekali gus untuk menangani kesesakan di pintu masuk negara,” katanya pada satu sidang media selepas menghadiri sebuah majlis pada 16 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 2023, kerajaan Malaysia membenarkan warga Singapura, Brunei, New Zealand serta negara Kumpulan Tujuh (G7) yang berkunjung ke negara itu menggunakan sistem Autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kemudahan itu, yang sebelum ini dikhaskan untuk rakyat Malaysia sahaja, adalah bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara.
Mengulas lanjut, Datuk Saifuddin berkata langkah yang diambil kerajaan itu penting memandangkan data kemasukan pengembara melalui pintu masuk utama negara adalah seramai 40 juta orang dari 1 Januari 2023 hingga April.
Menurut beliau, 30.5 juta pengembara yang direkodkan itu memasuki Malaysia melalui KLIA Terminal 1 dan 2 serta di pintu masuk melalui Johor.
“Dengan penambahbaikan ini, kami berharap dapat menangani isu kesesakan di semua pintu masuk utama negara,” katanya.
Beliau menambah bahawa kemudahan terbabit turut diberikan kepada semua kakitangan diplomatik yang bertugas di Malaysia, termasuk keluarga mereka.
“Tahun depan (2025), Malaysia menjadi Pengerusi Asean yang mana mesyuarat di peringkat menteri dan pegawai kerajaan bakal berlangsung.
“Ini adalah langkah awal untuk kami mempersiapkan proses ketibaan mereka dapat diuruskan dengan cepat dan mudah.
“Kami juga bercadang menambah jumlah Autogate di KLIA 1 dan 2.
“Buat masa sekarang, kami ada 54 di KLIA Terminal 1 dan 2, jadi kami berhasrat menambah 40 lagi menjadikan jumlahnya 94,” kata beliau.
Mengenai kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor, Datuk Saifuddin berkata terdapat beberapa daya usaha yang sudah diusahakan bagi memastikan proses imigresen lancar.
“Berdasarkan data, seramai 350,000 pengembara keluar masuk di sana, jadi kami sedang teroka beberapa inisiatif, termasuk pilihan Kod QR.
“Jadi dalam tempoh terdekat kami akan membuat beberapa siri pengumuman,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg