Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permaisuri Agong gesa gencatan senjata, hentikan jenayah kemanusiaan di Gaza

Nov 16, 2023 | 12:12 PM
DESAK HENTI PERANG: Raja Permaisuri Agong Malaysia, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendesak pemimpin dunia menggesa gencatan senjata bagi menghentikan konflik di Palestin ketika berucap pada Sidang Puncak ‘Bersatu Untuk Keamanan di Palestin’ di Istana Dolmabahce, Istanbul, pada Rabu.
DESAK HENTI PERANG: Raja Permaisuri Agong Malaysia, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendesak pemimpin dunia menggesa gencatan senjata bagi menghentikan konflik di Palestin ketika berucap pada Sidang Puncak ‘Bersatu Untuk Keamanan di Palestin’ di Istana Dolmabahce, Istanbul, pada Rabu. - Foto FACEBOOK NARNU AQILA

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyertai masyarakat antarabangsa yang mendesak gencatan senjata dan perang dihentikan di Gaza.

Beliau mengakui tidak boleh berdiam dengan pencabulan hak asasi manusia yang dahsyat di Gaza dan melahirkan kebimbangan terhadap rakyat Gaza, keselamatan kanak-kanak dan kemanusiaan.

Ketika berucap pada sidang puncak ‘Bersatu Untuk Keamanan di Palestin’ di Istana Dolmabahce, Istanbul pada Rabu, beliau mendesak pemimpin dunia secara kolektif menggesa penamatan segera konflik di Palestin.

“Mereka datang daripada semua lapisan masyarakat, mengamalkan agama berbeza dan bertutur bahasa berlainan. Namun mereka memiliki satu suara mahukan keamanan, hidup dalam harmoni dan saling menghormati.

“Saya berdiri di sini bukan sahaja sebagai Permaisuri, tetapi sebagai ibu, anak-anak yang amat disayangi. Saya berdiri di sini sebagai manusia dan kita mesti tegas bersuara supaya semua ini dihentikan,” kata beliau lapor Berita Harian Malaysia pada Rabu.

Sidang puncak itu diilhamkan Wanita Pertama Turkey, Cik Emine Erdogan dan dihadiri pasangan ketua negara dan kerajaan serta wakil negara, bagi menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

Ia bertujuan mewujudkan keamanan yang adil dan berkekalan, selain menggerakkan masyarakat antarabangsa bertindak terhadap kekejaman yang menjadi jenayah terhadap kemanusiaan terutama kanak-kanak, wanita, pesakit dan orang kurang upaya dihentikan.

Mereka menggesa serangan Israel yang menyasarkan penempatan awam di Gaza termasuk sekolah, hospital dan kemudahan perubatan lain, kem pelarian, kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta tempat ibadat dihentikan.

Raja Permaisuri berkata gencatan senjata membolehkan organisasi kemanusiaan menghantar bekalan penting, manakala kumpulan tempatan boleh menyediakan perkhidmatan kecemasan.

“Semua ini diperlukan untuk menyelamatkan rakyat yang menderita. Kita mesti menggesa pembukaan kekal koridor kemanusiaan ke Gaza supaya bantuan dapat disalurkan,” katanya.

Beliau berkata penduduk di negara yang dilanda peperangan, kesusahan dan konflik, berhak hidup dengan aman.

“Saya dengan rendah hati bercakap untuk setiap seorang daripada mereka dan sebagai Muslim, harus diingat adalah menjadi kewajipan kita sebagai manusia untuk menuntut penamatan semua permusuhan.

“Kerap dikatakan bahawa perang membawa kesakitan, bukan keuntungan. Mari kita pilih keamanan untuk hidup makmur.

“Biarlah kita berada di sebelah kanan sejarah supaya generasi masa depan melihat kita berbangga dengan apa yang kita lakukan iaitu mendesak gencatan senjata, menyokong kemanusiaan dan berdiri bersama untuk keamanan.

“Biarlah itu menjadi warisan kita. Marilah kita bersatu untuk keamanan di Palestin,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg