Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermintaan pelitup N95 melonjak di Johor, 80% pelanggan S’pura
Permintaan pelitup muka naik 500 peratus, ahli farmasi nasihat beli ikut keperluan
Permintaan pelitup N95 melonjak di Johor, 80% pelanggan S’pura
Permintaan pelitup muka N95 meningkat di beberapa farmasi di Johor Bahru (JB) ketika jerebu berterusan, dengan sebuah farmasi menganggarkan kenaikan sekitar 500 peratus dan perlu menambah bekalan setiap tiga hari.
Pembelian turut melibatkan pelanggan dari Singapura, yang mendapatkan pelitup muka serta bekalan lain untuk kegunaan sendiri dan keluarga.
Menurut Pengurus TreatMed Pharmacy and Rehab Supplies di JB, Cik Syarifah Ella Wan Wahab, permintaan N95 di farmasinya meningkat ketara berbanding keadaan biasa.
“Saya perlu menambah stok N95 setiap tiga hari,” katanya, sambil menganggarkan kenaikan permintaan sekitar 500 peratus.
Menurutnya, sebahagian pelanggan yang sebelum ini membeli bekalan untuk kegunaan satu hingga dua minggu kini mendapatkan kuantiti lebih banyak, termasuk untuk anggota keluarga.
“Pada hujung minggu, saya menganggarkan 80 peratus pelanggan yang membeli pelitup muka dan suplemen ialah warga Singapura,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Anggaran itu merujuk kepada pelanggan yang membeli kedua-dua jenis barangan berkenaan di farmasinya pada hujung minggu.
Terdahulu, Larkin menyertai Pasir Gudang dalam kategori mutu udara sangat tidak sihat apabila kedua-dua kawasan itu mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 202 setakat 4 petang, 16 Oktober.
Bacaan Larkin meningkat daripada 195 pada 11 pagi hari yang sama, manakala Pasir Gudang mencatatkan penurunan daripada 209, namun kekal dalam kategori sangat tidak sihat.
Berdasarkan paparan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), enam lagi kawasan di Johor merekodkan bacaan tidak sihat.
Pengerang mencatat bacaan tertinggi dalam kategori itu di Johor, iaitu 181, diikuti Batu Pahat dan Kota Tinggi, masing-masing 171.
Tiga kawasan lain ialah Kluang dengan bacaan 168, Tangkak (159) dan Segamat (156).
Cik Syarifah Ella berkata pihaknya mengekalkan harga meskipun permintaan bertambah kerana mahu memastikan pelanggan yang memerlukan barangan tersebut terus mendapatkannya.
Beliau turut menekankan peranan ahli farmasi dalam membantu pelanggan memilih barangan mengikut keperluan, terutama apabila kebimbangan terhadap jerebu mendorong sesetengah orang membeli bekalan tambahan.
Menurutnya, terdapat pelanggan yang mahu membeli pelbagai produk sebagai persediaan walaupun belum pasti sama ada mereka memerlukannya.
Justeru, beliau berkata penerangan kepada pelanggan penting supaya pembelian dibuat berdasarkan keperluan sebenar dan bukan semata-mata didorong kebimbangan terhadap keadaan semasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Al Qanaah Pharmacy Sdn Bhd, Cik Nurul Ashikin Noor Rahim, berkata rangkaian yang mengendalikan sembilan farmasi itu turut menyaksikan peningkatan permintaan pelitup muka, termasuk N95.
“Memang orang beli sekarang ini sekotak-sekotak,” katanya.
Menurutnya, pembelian bukan sahaja dibuat oleh individu, malah turut melibatkan pelanggan yang mendapatkan bekalan bagi kegunaan syarikat.
Beliau menganggarkan jualan pelitup muka boleh mencecah sekitar 60 unit sehari bagi setiap cawangan, dengan permintaan turut meningkat pada hujung minggu.
Bagaimanapun, beliau belum dapat memberikan peratusan kenaikan jualan keseluruhan kerana angka itu perlu disemak menerusi laporan jualan dan gudang.
Selain pelitup muka, rangkaian farmasi berkenaan turut menerima permintaan lebih tinggi bagi ubat batuk dan semburan hidung.
Cik Nurul Ashikin berkata tempahan bagi bekalan tambahan sudah dibuat melalui gudang pusat untuk diagihkan kepada cawangan.
Bacaan IPU antara 101 dengan 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.