Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perniagaan emas kembali sinari hidup tukang cuci

May 28, 2025 | 2:02 PM
Elee Salmi, Empayar Emas YL
Cik Elee Salmi (tengah) bersama keluarga yang membantunya mengendalikan empayar emas di Changlun. - Foto FACEBOOK ELEE SALMI 

Pengalaman pahit jatuh dalam perniagaan kira-kira sembilan tahun lalu menjadikan Cik Elee Salmi Ishak, 49 tahun, lebih berhati-hati dan menyusun strategi baru bangkit semula membina perniagaannya.

Pengasas Empayar Emas YL di Changlun, Kedah, berkata beliau pernah bekerja sebagai guru selama empat tahun tetapi berhenti kerana mahu menceburi perniagaan bagi mencapai impiannya.

“Selepas berhenti sebagai guru, saya menceburi perniagaan berangkaian dan memberikan kemewahan dan pendapatan puluhan ribu tetapi saya ‘lalai’ dan tidak buat simpanan dalam hidup.

“Kemudian, saya diberi ujian apabila jatuh dalam perniagaan itu pada 2016. Hidup kami sekeluarga berubah dan hidup susah,” katanya, yang berkahwin dengan Encik Mohd Yusop Deraoh, 55 tahun, dan dikurniakan tiga anak masih kecil ketika berdepan ujian itu.

Cik Elee Salmi berkata lebih malang rumahnya kena lelong, kereta pula ditarik bank, bekalan elektrik dan air juga dipotong hinggakan tiada apa yang ada, sedangkan waktu itu anak-anak masih belajar, lapor Berita Harian Malaysia.

Katanya, beliau cuba berusaha mencari rezeki lain dan letakkan egonya ke bawah, malah tidak malu melakukan kerja mencuci rumah orang bersama suami dengan membawa tiga anak mereka bersama.

“Saya hubungi semula rakan guru dikenali untuk mencuci rumah mereka sebagai permulaan bina hidup baru.

“Setiap kali nak cuci rumah, saya bawa anak bersama selepas habis waktu sekolah. Anak terpaksa berhimpit dalam kereta kecil yang saya pinjam daripada kawan dan penuh dengan barangan untuk cuci rumah termasuk tangga.

“Waktu itu, rakan yang pernah baik dengan saya menghilang dan menjauhkan diri kerana takut saya pinjam duit mereka,” katanya, yang turut menjual nasi lemak untuk menampung kehidupan keluarga.

“Namun segalanya berubah apabila seorang rakan mengajak saya menceburi perniagaan emas.

“Saya berminat dan menyertainya serta bertekad mengubah nasib. Namun saya masih meneruskan kerja mencuci rumah hingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada 2020.

“Disebabkan perniagaan cuci rumah tak boleh dilakukan lagi ketika itu, saya fokus perniagaan emas dan saya buat dalam talian melalui media sosial. Syukur, ia mendapat sambutan luar biasa,” katanya.

Cik Elee Salmi yang berasal dari Langkawi, berkata beliau kemudian membuka pusat latihan untuk melatih lapan ejen baru yang berminat menceburi perniagaan emas.

Beliau berkata apabila perniagaannya semakin berkembang, beliau membuka empayar emas di Changlun dengan menjadi pemborong dan menjual emas termasuk jongkong dan barang kemas. Kini beliau mempunyai 1,500 ejen di seluruh negara.

“Alhamdulillah, perniagaan emas ketika ini menguntungkan, malah selain suami sebagai tukang emas, ketiga-tiga anak saya juga terbabit dalam perniagaan ini.

“Anak sulung, Muhamad Nur Aiman Mohd Yusop, 26 tahun, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif; manakala anak kedua, Nurul Izyani Mohd Yusop, 25 tahun, Ketua Eksekutif Jualan; dan bongsu, Muhamad Nur Afif, 18 tahun, pegawai operasi,” katanya.

Cik Elee Salmi berkata berkat kesungguhan dan belajar daripada pengalaman lalu, beliau dapat mengembalikan semula kegembiraan selain berkongsi ilmu dengan orang lain terutama yang hidup susah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg