Menjadi sukarelawan bukan mudah apatah lagi apabila ditugaskan menjaga warga emas uzur.
Kesabaran dan keikhlasan perlu ada dalam diri sukarelawan sepanjang melaksanakan tugas.
Bagi sukarelawan program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia (Usiamas) Selangor, Cik Nor Aisah Yury, 62 tahun, beliau mula membabitkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan pada 2016 bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana minat.
Katanya, setahun selepas itu, beliau menjadi sukarelawan KBDR dan ditugaskan menjaga dua orang kurang upaya terlantar.
“Sekarang saya jaga empat warga emas termasuk yang buta penglihatan serta ada yang tinggal bersendirian selepas kematian suami.
“Saya sertai sukarelawan sebab minat dan seronok dengan program (kesukarelawanan) dianjurkan. Pada awal penyertaan saya masih bekerja dan hanya melakukan aktiviti sukarelawan apabila ada masa.
“Apabila dah masuk Usiamas (persatuan) dan tengok keadaan warga emas, secara automatik akan ada rasa nak bantu sebab kita tengok ada orang lagi susah daripada kita terutama salah seorang warga emas yang saya jaga itu buta sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika baru-baru ini.
Cik Nor Aisah berkata dalam seminggu beliau akan meluangkan masa dua jam untuk melawat dan mengurus warga emas yang diamanahkan kepadanya, lapor Berita Harian Malaysia.
“Mereka ini bukan mahu kita mengemas rumah atau memasak, tetapi lebih kepada inginkan teman untuk berbual. Bila saya datang, mereka akan meluahkan perasaan, ada yang bersedih.
“Tetapi, sebagai sukarelawan, kita hanya boleh menjadi pendengar serta memberi sedikit nasihat dan kata-kata semangat kepada mereka,” katanya.
Hampir 10 tahun melakukan kerja sukarelawan, Cik Nor Aisah sentiasa mendapat sokongan keluarga terutama suaminya.
Katanya, suami juga kerap menemaninya ke rumah warga emas yang diuruskannya jika berkelapangan.
Bercerita mengenai salah seorang client yang kini orang kurang upaya buta, Cik Nor Aisah berkata beliau akan menjaga Cik Saemah Mat Said selagi ada kudratnya.
“Saya diamanahkan untuk menjaga mak cik ini pada April 2021 selepas dua bulan beliau hilang penglihatan akibat cili terpercik ke dalam mata ketika sedang memasak.
“Beliau juga sering mengatakan jika saya mahu berhenti (kerja sukarelawan), dia mahu saya melawatnya jika ada masa dan tidak mahu persatuan menghantar orang lain untuk menjaganya,” katanya.
Bagi Cik Saemah, 78 tahun, yang mengalami buta sejak 2021 bersyukur mengenali Cik Nor Aisah yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
“Dia bukan sukarelawan pada saya, tetapi sudah saya anggap sebagai anak sendiri. Dialah banyak mendengar dan melayan saya bercerita.
“Nor Aisah juga mengurus saya dengan baik termasuk membawa saya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. Saya tahu ia agak sukar berikutan saya tinggal di tingkat lima dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk turun ke bawah.
“Saya berulang kali cakap kepadanya, jika dia mahu berhenti, saya tidak mahu orang lain ganti tugasnya. Saya mahu dia datang juga melawat saya walaupun sudah tidak menjadi sukarelawan Usiamas,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg