Sempena kedatangan Ramadan ini, MegaXpress International Pte Ltd mengadakan sebuah lagi pameran gah pada 14 hingga 16 Februari ini. Bertempat di Dewan 6A, Singapore Expo, pameran ini bertemakan Halal Eid Expo 2025.
Selain menyediakan kepelbagaian hidangan halal, pameran tiga hari ini juga menawarkan barangan dan keperluan gaya hidup yang lain, khususnya kepada mereka yang ingin membuat persediaan awal menyambut Lebaran.
Antara lain, ia menyediakan tawaran hebat fabrik menarik, busana dan aksesori, produk kecantikan, hiasan rumah seperti permaidani, langsir selain kurma dan kuih-muih Raya yang rencam.
Halal Eid Expo 2025 menampilkan lebih 230 reruai dan pelbagai kegiatan. Antara atur cara yang tersedia ialah segmen tunjuk cara memasak, pertandingan MegaXtreme Challenge di mana pertandingan seperti ‘Minum Paling Pantas’, ‘Makan Pedas Paling Pantas’ diadakan, pertandingan karaoke, senaman zumba, ceramah interaktif bersama asatizah mapan, hiburan, cabutan bertuah dan banyak lagi.
Antara selebriti popular yang bakal menyerikan acara ini ialah Fahrin Ahmad, Lana Nodin, Bell Ngasri, Elly Mazlein, Ifa Raziah dan ramai lagi.
Menurut Pengurus Komunikasi MegaXpress International, Cik Reny Delfina Hamzah, pameran Halal Eid Expo 2025 pastinya memberikan banyak pilihan kepada pengunjung berbelanja bagi keperluan Ramadan dan Syawal, sambil menikmati pilihan juadah yang ditawarkan.
Cik Reny turut menjangkakan 80,000 hingga 100,000 pengunjung akan membanjiri pameran kali ini.
“Pameran Halal Eid Expo 2025 kali ini menjanjikan dua kategori popular untuk semua pengunjung iaitu segmen hidangan halal, dan satu lagi bagi keperluan untuk Ramadan dan Raya.
“Pameran anjuran syarikat kami ini merupakan satu-satunya pameran di Singapura yang menyajikan produk rencam sambil menyediakan pengunjung dengan barangan dan keperluan mereka untuk Ramadan dan Raya kelak. Pameran ini dianjurkan sebelum Ramadan agar pengunjung dapat berbelanja dengan selesa dan dapat juga merasa juadah dan produk makanan yang dijual sebelum mula berpuasa,” jelas Cik Reny.
Cik Reny turut memberitahu Berita Harian (BH), satu lagi pameran terbesar, Mega Raya Expo, akan diadakan pada 21 hingga 23 Mac nanti.
“Bagi pameran pada bulan Ramadan itu, kami menyasarkan dan memberi tumpuan khusus untuk keperluan Raya semata-mata. Apa yang pasti, segala keperluan Syawal akan ditawarkan pada pameran tersebut,” tambah Cik Reny.
Penerima manfaat daripada pameran Halal Eid Expo 2025 ini ialah Masjid Hasanah.
Masuk ke pameran ini percuma.
Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman Facebook (FB) MegaXress International atau Instagram (IG) Megaxpress International.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg