Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Sistem Raja Berperlembagaan M’sia unik

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

NOTA DARI KL

Sistem Raja Berperlembagaan M’sia unik

Satu-satunya negara amal sistem penggiliran pelantikan Agong
Feb 04, 2024 | 05:30 PM



Malaysia menarik tumpuan hampir seluruh dunia pada 30 dan 31 Januari 2024, dengan istiadat tamat pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, dan pelantikan Agong Ke-17, iaitu Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Bagi rakyat Malaysia, istiadat tamat pemerintahan dan pelantikan Agong adalah detik bersejarah dan penting buat negara itu.

Ini terbukti dengan kemeriahan sambutan selama dua hari itu, apabila rakyat pelbagai lapisan tanpa mengira usia, kaum dan agama sanggup berhimpun di bawah terik mentari sebagai tanda sokongan, penghargaan dan kasih sayang kepada institusi diraja.

Malaysia adalah satu daripada 43 negara di dunia yang masih mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan.

Bagaimanapun Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengamalkan sistem unik, iaitu penggiliran mengikut kekananan dalam kalangan sembilan raja Melayu, untuk dilantik sebagai Agong.

Sultan Ibrahim yang terkenal sebagai raja yang lantang bersuara sebarang isu penting dalam negara, akan menunaikan amanah sebagai Ketua Utama Negara selama lima tahun.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, pula dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang akan berkhidmat dalam tempoh sama.

Pelantikan mereka adalah mengikut sistem penggiliran dengan lapan lagi Sultan negeri yang lain iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Empat lagi negeri di Malaysia iaitu Melaka, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang, tidak mempunyai Sultan, sebaliknya mempunyai ketua negeri yang dilantik oleh Agong dan dikenali sebagai Tuan Yang di-Pertua Negeri.

Untuk istiadat pada 31 Januari lalu, Sultan Ibrahim, 65 tahun, dan Sultan Nazrin Shah, 67 tahun, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-Raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Sementara Johor diwakili Pemangku Sultan Johor; Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang; Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Majlis berlangsung serba ringkas namun penuh dengan adat istiadat Melayu dan ketenteraan, sesuai dengan kedudukan Agong sebagai Ketua Agama Islam dan Ketua Angkatan Tentera.

Dalam sejarah institusi Agong, Sultan Abdullah sebagai Agong Ke-16 Malaysia antara yang melalui detik pemerintahan penuh cabaran.

Beliau ditabal sebagai Agong menyusuli pengunduran Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang meletak jawatan berkuat kuasa 6 Januari 2019, selepas memerintah negara lebih dua tahun sejak 13 Disember 2016.

Ketika pemerintahan Sultan Abdullah, Malaysia dilanda cabaran kesihatan dan ekonomi paling perit dalam sejarah apabila turut terkesan dengan pandemik Covid-19.

Kemelut politik dan situasi Parlimen tergantung antara yang ditangani beliau dengan penuh hemah, malah di bawah pemerintahannya juga, beliau menjadi satu-satunya Agong yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri.

Bermula dengan peletakan jawatan mengejut Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Februari 2020, beliau kemudian dengan cermat menangani situasi genting politik itu lalu merestui pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Namun, kestabilan politik negara terus mencabar sehingga pada 16 Ogos 2021, Tan Sri Muhyiddin pula meletak jawatan selepas hanya 17 bulan mentadbir negara, lalu sekali lagi memerlukan hemat Sultan Abdullah untuk memperkenan pelantikan Perdana Menteri baru.

Atas kebijaksanaan Sultan Abdullah, akhirnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada 19 November 2022.

Bagaimanapun, Sultan Pahang itu sekali lagi berdepan cabaran apabila tiada mana-mana parti mendapat keputusan majoriti dalam keputusan pilihan raya umum (PRU), sehinggalah selepas lima hari cuba menyelesaikan kemelut yang terjadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Kini, Sultan Ibrahim, yang dikenali sebagai raja penyayang dalam kalangan rakyat Johor, mengambil alih tampuk pemerintahan.

Personaliti bersahaja tetapi tegas yang sinonim dengan beliau membuatkan pelbagai pihak yakin kestabilan politik Malaysia akan terus diperkasa, malah negara itu akan terus membangun dengan baik dan cemerlang.

SENARAI YANG di-PERTUAN AGONG MALAYSIA

1. Almarhum Tunku Abdul Rahman Tuanku Muhammad (Negeri Sembilan):
3 Ogos 1957 – 1 April 1960.

2. Almarhum Tuanku Hisamudin Sulaiman Shah (Selangor):
14 April 1960 – 1 September 1960.

3. Almarhum Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail (Perlis):
21 September 1960 – 20 September 1965.

4. Almarhum Tuanku Ismail Sultan Zainal Abidin (Terengganu):
21 September 1965 – 20 September 1970.

5. Almarhum Sultan Abdul Halim Badlishah (Kedah):
21 September 1970 – 20 September 1975.

6. Almarhum Tuanku Yahya Petra Ibrahim (Kelantan):
21 September 1975 – 29 Mac 1979.

7. Almarhum Sultan Ahmad Shah Muadzam Shah (Pahang):
26 April 1979 – 25 April 1984.

8. Almarhum Tuanku Sultan Iskandar Ismail (Johor):
26 April 1984 – 25 April 1989.

9. Almarhum Tuanku Sultan Azlan Shah Izzuddin Shah (Perak):
26 April 1989 – 25 April 1994.

10. Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman (Negeri Sembilan):
26 April 1994 – 25 April 1999.

11. Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Selangor):
26 April 1999 – 21 November 2001.

12. Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail (Perlis):
13 Disember 2001 – 12 Disember 2006.

13. Tuanku Mizan Zainal Abidin (Terengganu):
13 Disember 2006 – 12 Disember 2011.

14. Almarhum Sultan Abdul Halim Badlishah (Kedah):
13 Disember 2011 – 12 Disember 2016.

15. Sultan Muhammad V (Kelantan):
13 Disember 2016 – 6 Januari 2019.

16. Sultan Abdullah Ahmad Shah (Pahang):
31 Januari 2019 - 30 Januari 2024.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >