BESUT (Terengganu): Seorang pesara kerugian RM82,600 ($25,299) selepas terpedaya dengan penipuan membuka kedai TikTok menerusi aplikasi Facebook yang kononnya menawarkan keuntungan lumayan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu, berkata mangsa seorang lelaki berusia 67 tahun membuat laporan polis pada Isnin, selepas menyedari ditipu apabila pelaburannya membuka kedai TikTok tidak memberi pulangan yang dijanjikan, lapor Berita Harian Malaysia.
“Mangsa yang berminat membuka kedai TikTok diminta menghantar salinan myKad dan sekeping gambar ‘selfie’ untuk pendaftaran akaun.
“Selepas kedai TikTok itu diwujudkan, mangsa dikehendaki memasukkan modal permulaan untuk kedai,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Selasa.
Katanya, disebabkan minat, mangsa memasukkan modal permulaan yang dipindahkan sendiri secara dalam talian.
“Pada awalnya mangsa diperdaya dengan diberi sedikit pulangan keuntungan dan kemudian berasa yakin sehingga mahu meneruskan perniagaan itu.
“Susulan itu, mangsa memasukkan modal tambahan menerusi 13 transaksi wang ke dalam tujuh akaun bank berbeza.
“Bagaimanapun, selepas menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai jangan sesekali membuat pelaburan tidak sah tanpa kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg