Seorang bekas pengurus perancangan harta di DBS Bank yang menipu empat pelanggan sejumlah $348,000 secara keseluruhan, dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah pada 18 Mac.
Pang Yuheng, 28 tahun, memperdaya mangsa untuk melabur dalam produk simpanan tetap dengan “terma menarik” yang tidak wujud.
Warga Singapura itu mengaku bersalah pada Februari atas tiga pertuduhan menipu melibatkan $324,000.
Tiga lagi pertuduhan, termasuk satu kes penipuan melibatkan baki $24,000, dipertimbangkan mahkamah semasa hukuman dijatuhkan.
Pang diberhentikan kerja pada Jun 2023.
Semasa berkhidmat di DBS, tugasnya termasuk menjual produk pelaburan berkaitan insurans kepada pelanggan, lapor The Straits Times (ST).
Pada Mac 2022, dia merancang untuk menawarkan produk simpanan tetap palsu dengan kadar faedah tinggi kepada pelanggan.
Ini dilakukan supaya dia dapat menggunakan wang itu untuk membayar hutangnya dengan pemiutang berlesen, selepas mengalami kerugian dalam perjudian dalam talian.
Dari 7 Mac 2022 hingga 1 Mac 2023, dia memperdaya empat pelanggan DBS untuk memindahkan $348,000 ke akaun bank peribadinya.
Dalam prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) David Koh memberitahu mahkamah bahawa Pang akan menghubungi pelanggannya melalui telefon atau berjumpa mereka secara bersemuka untuk menawarkan simpanan tetap.
“Terma simpanan tetap itu termasuk kadar faedah antara 4 peratus dengan 12.88 peratus setahun, dengan tempoh matang antara dua dengan 12 bulan,” katanya.
Terdapat juga waktu apabila Pang mengarahkan pelanggan supaya memindahkan wang ke akaun peribadinya apabila mereka bersetuju membuat simpanan tetap itu.
Dia menggunakan sebahagian daripada hasil yang diperolehnya secara haram untuk membiayai kegiatan perjudian dalam talian dan melabur.
Bagi menutup jejaknya, dia menggunakan sebahagian wang tersebut dan hasil perjudiannya untuk membuat bayaran berjumlah lebih $104,000 kepada dua mangsa yang telah ditipu sebanyak $98,000.
Menurut DPP Koh, DBS telah membayar pampasan berjumlah $259,000 kepada dua lagi mangsa yang telah memindahkan wang sebanyak $250,000 kepada Pang.
Pang telah membayar semula $70,000 kepada DBS, menyebabkan bank itu mengalami kerugian sebanyak $189,000.
Pada Jun 2023, polis menerima laporan daripada DBS mengenai kesalahannya, dan Pang didakwa di mahkamah pada 2024.
Peguam bela, Encik Andrew Wong dan Encik Danny Nah dari IRB Law, memohon agar anak guam mereka dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun dua bulan.
Mereka juga berkata selepas dibebaskan, Pang akan membuat bayaran bulanan sebanyak $1,000 kepada DBS.
Bagi setiap pertuduhan menipu, pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg