KUALA LUMPUR: Pemilik 115 rumah yang terjejas akibat kebakaran besar melibatkan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, diiringi pegawai dan anggota agensi berkaitan pada sesi pemeriksaan kediaman mereka pada 3 April.
Selain pegawai dan anggota pasukan keselamatan, turut terbabit ialah petugas agensi lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pegawai Daerah Petaling, Encik Huzunul Khaidil Mohammed, berkata fasa pertama membabitkan 41 pemilik rumah yang dibenarkan masuk mulai 9.30 pagi bagi menjalani pemeriksaan termasuk pendawaian.
Pemilik terbabit dibenarkan memasuki kediaman secara berfasa dengan yang pertama membabitkan 41 rumah sebelum disusuli fasa kedua dan ketiga.
Kebakaran besar paip gas pada 8.10 pagi 1 April menyaksikan api setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Ia menghasilkan bahang panas serta debu yang memusnahkan deretan kediaman selain harta benda termasuk lebih 300 kenderaan.
Sebelum ini pada 2 April, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, dalam sidang media di tapak kejadian, memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menjalankan pemeriksaan akhir pendawaian di kesemua 115 rumah pada 3 April.
“Sekiranya pendawaian berada dalam keadaan baik, bekalan elektrik akan disalurkan semula.
“Jika pemeriksaan inventori mengesahkan keadaan kediaman selamat, penduduk akan dibenar kembali ke rumah mereka,” katanya kepada pemberita, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata JBPM telah melaksanakan semakan inventori di kediaman yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas itu dan mendapati semua kediaman berkemungkinan berada dalam keadaan baik serta dipercayai selamat untuk diduduki.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima 108 laporan berkaitan kejadian letupan paip gas bawah tanah yang mengakibatkan kebakaran besar di Putra Heights.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata kebanyakan laporan itu membabitkan kerosakan harta benda yang dialami mangsa susulan kejadian terbabit.
Bagaimanapun, katanya, jumlah laporan polis berkenaan dijangka bertambah dari semasa ke semasa.
Selain itu, setelah dua hari insiden kebakaran saluran paip gas menggemparkan Malaysia, tumpuan kini terarah kepada siasatan punca kejadian dan pemeriksaan tahap keselamatan yang dilaksanakan di kawasan itu.
Wan Azlan berkata kerja pemulihan di tempat kejadian setakat ini adalah selamat susulan pemeriksaan Petronas yang mendapati tiada lagi kandungan gas dikesan dalam saluran paip berkenaan.
Bermula 3 April, pihak berkuasa akan menilai integriti dua lagi saluran paip untuk menilai sama ada ia masih dalam keadaan baik atau sebaliknya.
Beliau mengesahkan tiada penemuan mayat di lokasi kebakaran selepas Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi pencarian secara menyeluruh.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar pasukan penyiasat untuk memeriksa kawasan kawah yang terbentuk di tapak kebakaran saluran paip tersebut.
Pemeriksaan turut membabitkan pegawai Petronas, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Selain itu, pegawai Petronas bersama alat pengesanan turut ditugaskan di kawasan ‘ground zero’ bagi mengesan kemungkinan kewujudan gas, selain memantau secara manual tekanan gas di lokasi keempat-empat injap saluran paip.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg