Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia tempatkan polis di 151 stesen minyak berisiko tinggi bendung ketirisan bahan api
M’sia tempatkan polis di 151 stesen minyak berisiko tinggi bendung ketirisan bahan api
Menteri beri jaminan bekalan bahan api kekal stabil, terkawal di tengah konflik Timur Tengah
M’sia tempatkan polis di 151 stesen minyak berisiko tinggi bendung ketirisan bahan api
KUCHING: Polis akan ditempatkan sementara di 151 stesen minyak yang dikenal pasti berisiko tinggi, terutamanya di kawasan sempadan Malaysia, bagi membendung ketirisan bahan api.
Langkah ini penting untuk menjamin bekalan negara kekal mencukupi dalam jangka panjang, khususnya di tengah-tengah konflik Timur Tengah.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, menjelaskan penempatan polis membolehkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpukan operasi di lokasi berisiko lain.
Ini termasuk depoh diesel nelayan, stesen tanpa jenama, jeti haram dan aktiviti pemindahan minyak haram dari kapal ke kapal.
“Daripada jumlah itu, 87 stesen minyak berada di kawasan sempadan, manakala 64 lagi dikategorikan berisiko tinggi akibat lonjakan jualan mencurigakan serta aktiviti melibatkan kenderaan asing dan tangki ubah suai.
“Di Sarawak sahaja, 22 stesen minyak di kawasan sempadan seperti Limbang, Lubok Antu dan Lundu akan dipantau polis melalui operasi bersepadu,” katanya selepas Mesyuarat Penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) peringkat negeri di Sarawak, pada 13 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, mendedahkan bahawa Ops Tiris 4.0 yang berjalan dari 16 Mac hingga 12 April telah melakukan 13,759 pemeriksaan.
Usaha itu membuahkan hasil dengan 239 kes dikesan dan rampasan bernilai keseluruhan RM11 juta ($3.55 juta) direkodkan. Daripada jumlah ini, RM6.7 juta adalah di Sarawak sahaja.
“Diesel mendahului senarai kes ketirisan dengan 99 kes bernilai lebih RM3.1 juta, diikuti petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG), dan barangan kawalan lain seperti minyak masak, gula serta tepung gandum,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat untuk menyertai inisiatif ‘KITA GEMPUR’, iaitu seruan kerajaan untuk membentuk gerakan massa yang padu dalam membanteras isu ketirisan barang kawalan dan bersubsidi demi memperkukuh kedaulatan ekonomi negara.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut, memberi jaminan bekalan diesel di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, adalah mencukupi, meskipun ada laporan terpencil mengenai kekurangan di kawasan tertentu.
Beliau menegaskan, secara keseluruhannya, sumber bekalan bahan api itu kekal stabil dan terkawal.
“Insya-Allah, bekalan asas mencukupi. Namun, bagi menjamin kelangsungan, kestabilan dan keterjaminan bekalan, kita mesti memastikan tiada sebarang gangguan atau ketirisan dalam keseluruhan rantaiannya,” jelas beliau.
Datuk Armizan menambah, kerajaan memandang serius isu kekurangan bekalan yang dilaporkan. Walaupun kebanyakan isu timbul akibat gangguan logistik dan bukan kekurangan bekalan sebenar.
“Gangguan itu melibatkan kelewatan penghantaran ke pelabuhan, seterusnya ke depoh dan stesen minyak, walaupun bekalan asas sebenarnya berada pada tahap yang memuaskan.
“Isu terpencil yang sama juga berlaku di Semenanjung, tetapi berjaya ditangani dengan pantas oleh pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata bekalan minyak negara dijangka kekal stabil sehingga Jun walaupun berdepan kemungkinan turun naik harga dalam masa terdekat.
Datuk Anwar menjelaskan, walaupun Malaysia adalah negara pengeluar minyak, negara ini masih mengimport produk petroleum tertentu, khususnya bahan api premium yang harganya lebih tinggi.
