MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka tiada halangan sekiranya pengundi gabungan itu memberikan sokongan kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi PH Melaka, Encik Adly Zahari, berkata meskipun tiada kerjasama rasmi antara PH dan Bersatu, pendekatan digunakan kali ini bertujuan meminimumkan pertembungan dengan parti pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu bagi membuka ruang kepada sokongan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya turut mengharapkan pendekatan sama dilaksanakan Bersatu dengan memberikan sokongan kepada calon PH di kawasan yang ditandingi gabungan itu.

“Asasnya kita tahu bahawa saingan kita adalah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Jadi kalau pengundi kita, takkan kita hendak undi BN atau PN.

“Jadi mungkin di kawasan yang tidak kita tandingi itu, ada peluang penyokong kita untuk memberikan sokongan kepada Bersatu yang membawa aspirasi bersama.

“Di peringkat PH, kita mengalu-alukannya (sokongan),” katanya menerusi Podcast Khas PRN Melaka, pada 3 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada PRN Melaka kali ini, PH meletakkan calon di 24 kerusi DUN, manakala Bersatu bertanding di tujuh kerusi dengan tiga daripadanya menyaksikan pertembungan antara kedua-dua parti berkenaan.

Encik Adly yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), berkata meskipun Bersatu menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bersama wakil Kerajaan Persekutuan bagi membina kestabilan politik, ia tidak semestinya menjamin kesepakatan dalam kerjasama politik.

Beliau berkata ini kerana bagi membina kerjasama, PH berdepan cabaran khususnya melalui sejarah hubungan politik dengan Bersatu, yang masih mempengaruhi penerimaan sebahagian penyokong di peringkat akar umbi.

“Politik ini memang begitu, ada dinamikanya. Sebab kalau kita lihat, kita pun ada cabaran. Bukan semua penyokong kita mampu menerima (kerjasama ini).

“Ini kerana kita perlu berdepan cabaran lama dengan parti (Bersatu). Jadi, untuk membina kesepakatan atau kerjasama politik itu bukan satu perkara yang mudah.

“Apatah lagi sentimen lama itu masih menghantui kita...jentera pun masih tidak (bersama). Kita lihat setiap kali ada kerjasama, mesti ada cabaran tersendiri,” katanya.

Ditanya kemungkinan PH dan Bersatu berkongsi pentas sepanjang tempoh kempen PRN ini, Encik Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, berkata setakat ini kededua parti dijangka bergerak berasingan.

Beliau berkata pembentukan jaringan kerjasama jentera di peringkat akar umbi mungkin memerlukan tempoh lebih panjang untuk direalisasikan.

“Sekarang ini yang kita alu-alukan adalah sokongan. Mungkin dari segi jentera, masanya agak singkat untuk kita buat kerjasama dan sebagainya.

“Tetapi dari segi sokongan itu memang kita alu-alukan sokongan daripada semua pihak kepada PH,” katanya.