Topik diikuti
Pergi ke BHkuPN dapat ‘nyawa kedua’, boleh guna logo sendiri di PRN Melaka
Pengamat: Kerjasama BN-PN punya potensi beri kelebihan kepada gabungan itu
PN dapat ‘nyawa kedua’, boleh guna logo sendiri di PRN Melaka
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober membenarkan Perikatan Nasional (PN) menggantung pelaksanaan notis pembatalan pendaftarannya, membolehkan gabungan pembangkang itu bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, 14 November ini.
Namun, masa depan jenama politik PN itu dan sama ada ia masih boleh diselamatkan daripada dibatalkan, bergantung pada keputusan muktamad mahkamah kelak, walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu.
Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga penganalisis politik, Dr Ikmal Hisham Mohd Tah, berkata peluang PN untuk mengekalkan status dan identitinya sebagai gabungan politik berdaftar bergantung pada asas pembatalan oleh RoS.
Menurutnya, ia termasuk daripada aspek pematuhan terhadap kehendak undang-undang serta sama ada keputusan itu dibuat secara sah dan mengikut prosedur yang adil.
“Keputusan mahkamah itu tidak boleh ditafsirkan sebagai pengesahan bahawa pembatalan pendaftaran oleh RoS mungkin tidak sah.
“PN masih mempunyai peluang mempertahankan organisasi itu dari sudut perundangan, tetapi peluang itu belum boleh dianggap sebagai kemenangan muktamad,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Hakim Datuk Azizan Md Arshad, memutuskan penggantungan notis pembatalan pendaftaran PN itu sehingga prosiding semakan kehakiman didengar, selepas mendapati wujud keadaan luar biasa yang mewajarkan penangguhan diberikan.
Menurut Datuk Azizan ia khususnya melibatkan potensi kemudaratan terhadap kegiatan politik PN serta penyertaannya dalam PRN.
Dengan itu PN secara tidak langsung mendapat peluang kedua selepas berdepan ketidaktentuan menjelang PRN Melaka, menyusuli pembatalan pendaftarannya oleh RoS, dua hari sebelum keputusan mahkamah pada 22 Oktober.
Tindakan itu dilihat penganalisis sebagai berisiko menjejas undi yang diraih gabungan berkenaan, sekiranya ia tidak dapat menggunakan logo PN dalam PRN itu.
Sebelum ini, gabungan berkenaan berdepan kemelut menyusuli pertikaian antara dua komponen utamanya – Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang kini menerajui PN, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang pernah mengetuai gabungan itu sejak ia diwujudkan pada Ogos 2020.
Pertikaian itu memuncak selepas PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu, berikutan beberapa krisis dan ketidaksefahaman berterusan, bermula dengan isu pertukaran Menteri Besar Perlis daripada PAS kepada Bersatu pada Disember 2025.
Ia kemudian membawa kepada dakwaan Bersatu bahawa parti itu dipinggirkan daripada menghadiri Mesyuarat Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, sebelum parti itu mengemukakan aduan kepada RoS.
Malah, Bersatu turut membangkitkan persoalan berhubung status keahliannya dalam PN, yang kemudian mengakibatkan penggantungan pendaftaran gabungan itu oleh RoS.
Untuk PRN Melaka kali ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah mengesahkan partinya sekali lagi akan bekerjasama dengan PN/PAS.
Malah Datuk Zahid berkata BN akan berkongsi pentas dengan PN/PAS untuk mengumumkan calon masing-masing bagi PRN Melaka pada 24 Oktober.
BN juga mengesahkan akan bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, sementara rakan gandingannya akan bertanding di baki tujuh lagi kerusi DUN.
PRN Melaka akan menjadi medan pilihan raya ketiga selepas Johor dan Negeri Sembilan, yang menyaksikan BN bertembung dengan rakan gabungannya dalam Kerajaan Persekutuan sejak 2022, iaitu Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas kesan kes mahkamah dijalani PN ketika ini dalam meraih undi pada PRN Melaka, Dr Ikmal Hisham, berpandangan bahawa pertikaian pendaftaran PN boleh mempengaruhi persepsi pengundi, terutama mereka yang masih belum menetapkan sokongan kepada mana-mana parti.
Namun jelas beliau, kesannya tidak semestinya negatif atau menyeluruh.
Menurutnya, penyokong tegar PN mungkin melihat keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan lambang gabungan itu sebagai perkembangan positif, sekali gus membolehkan mereka meneruskan sokongan terhadap pilihan politik sedia ada.
Bagaimanapun, bagi pengundi atas pagar, ketidaktentuan berhubung status pendaftaran PN boleh menimbulkan persoalan mengenai kestabilan organisasi, keupayaan pentadbiran dan masa depan gabungan berkenaan.
“Namun, kita juga perlu berhati-hati agar tidak menyamakan pertikaian pendaftaran PN dengan kesalahan jenayah atau salah laku yang telah dibuktikan.
“Proses semakan kehakiman ialah mekanisme sah untuk mencabar tindakan pihak berkuasa pentadbiran.
“Oleh itu, saya tidak melihat isu pendaftaran ini sebagai faktor tunggal yang menentukan keputusan PRN Melaka nanti terutama dari aspek undi terhadap PN yang bekerjasama dengan BN.
“Kesan sebenar terhadap sokongan pengundi banyak bergantung kepada bagaimana PN menguruskan krisis, menyampaikan penjelasan dan meyakinkan rakyat tentang kestabilan gabungannya,” katanya.
Dr Ikmal Hisham juga percaya, kerjasama BN-PN mempunyai potensi untuk memberikan kelebihan buat kededua gabungan itu dalam PRN Melaka.
“Khususnya jika kedua-dua gabungan berjaya menyelaraskan pembahagian kerusi, mengelakkan pertandingan sesama sendiri dan menggerakkan jentera pilihan raya secara bersepadu.
“Pengalaman PRN Negeri Sembilan yang menyaksikan BN-PN bekerjasama menerusi agihan kerusi ditandingi boleh dijadikan rujukan untuk menilai keberkesanan kerjasama politik tersebut.
“Namun, kita tidak boleh menganggap bahawa keputusan di Negeri Sembilan akan berulang secara automatik di Melaka. Setiap negeri mempunyai demografi pengundi, sejarah politik, kekuatan calon dan isu tempatan yang berbeza,” ujarnya.
Ketika BN-PN/PAS sudah memuktamadkan persefahaman, pimpinan PH pula masih berteka teki.
Bagaimanapun, memetik laporan media Malaysia, Pengerusi PH Melaka, Encik Adly Zahari, berkata PH melihat tiada keperluan untuk gabungan itu bertanding di semua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka.
Sebaliknya, Encik Adly berkata cukup untuk PH sekadar meletakkan calon di 18 hingga 21 kerusi.
Ini sekali gus menguatkan jangkaan bahawa PH akan bekerjasama dengan Bersatu yang pernah menjadi seterunya, dalam menghadapi PRN Melaka.
Penganalisis politik yang juga Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, berpandangan PH berkemungkinan besar bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka, walaupun Timbalan Presiden PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada 23 Oktober mengakui Bersatu masih parti komponen dalam PN.
Profesor Azmi berkata kesediaan PAS untuk memanggil Bersatu menghadiri mesyuarat PN hanyalah satu usaha untuk mengekalkan kedudukan PN, terutama bagi mempertahankan kepentingan untuk PAS dan parti komponennya menggunakan logo gabungan itu.
Selain PAS, PN turut dianggotai Parti Wawasan Negarai (Wawasan); Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan); Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Menurut beliau kepentingan mengekalkan PN tidak semestinya bermakna PAS mahu mengekalkan kerjasama dengan Bersatu dalam semua keadaan.
“BN telah mengesahkan kerjasamanya dengan PN untuk PRN Melaka, jadi saya jangka PH juga akan memutuskan Bersatu sebagai rakan kerjasamanya untuk menghadapi PRN itu,” katanya kepada BH.
Beliau berkata Bersatu sukar memperoleh manfaat politik yang maksimum jika bergerak secara solo, manakala PH pula memerlukan sokongan lebih besar dalam kalangan pengundi Melayu menjelang PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Penyertaan Bersatu dalam kerjasama dengan PH berpotensi membantu gabungan itu menarik kembali sokongan pengundi Melayu, khususnya ketika PH berdepan persepsi negatif sebahagian pengundi terhadap satu daripada komponennya, Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“Bagi saya, besar kemungkinan PH akan memuktamadkan kerjasama dengan Bersatu kerana inilah masa terbaik untuk PH menilai bagaimana Bersatu boleh membantu mereka, terutama menjelang PRU16,” katanya.
Selain BN-PN/PAS yang akan mengumumkan calon pada malam 24 Oktober di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka, PH juga akan mengumumkan calon pada malam sama di tapak letak kereta Stadium Hang Jebat, Melaka.