PUTRAJAYA: Blok politik Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, belum mengadakan sebarang perbincangan berhubung kemungkinan mengadakan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya dalam pilihan raya.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata perkara itu belum dibincangkan di peringkat parti ketika ini.

“Pada waktu ini, peringkat pimpinan belum membincangkan perkara itu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (2HKHM) 2026 di Putrajaya, pada 12 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, sebelum ini dilaporkan berkata PH sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama atau sebarang persefahaman dengan parti atau gabungan politik termasuk dengan Bersatu, mahupun gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN).

Datuk Amirudin yang juga Naib Presiden PKR, berkata kerjasama itu perlu berasaskan prinsip kestabilan politik dan kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, kenyataan Datuk Amirudin mendapat reaksi negatif beberapa pihak termasuk Timbalan Setiausaha Agung, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Ramkarpal Singh.

Encik Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, dilaporkan berkata kerjasama antara DAP dengan parti pembangkang terutama PAS tidak mungkin berlaku.

Beliau menyifatkan tuduhan oleh Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, kononnya DAP sebagai anti-Islam sebagai tidak berasas dan menjadi sebab kedua-dua parti itu sukar bekerjasama.

Berikutan itu Encik Ramkarpal menggesa Datuk Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor, menjelaskan kenyataannya bahawa PH terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Bersatu dan PN.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Ketua Pembangkang Selangor mencuri perhatian apabila memanggil Datuk Amirudin dengan gelaran ‘adindaku’.

Dalam bahasa Melayu, ‘adinda’ ialah kata panggilan yang sopan namun mesra untuk seseorang yang lebih muda, khususnya dalam konteks kesusasteraan atau tradisional.

Beliau turut menggelarkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH sebagai ‘sahabat’ dan ‘teman’.

Perkembangan itu mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama antara Bersatu dengan PH, khususnya ketika ketegangan antara Bersatu dengan parti lain dalam PN semakin memuncak.