KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menolak keperluan untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dalam masa terdekat, menyusuli dakwaan wujud ketidaktentuan ekonomi dan politik, terutama dengan kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) pimpinannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, 11 Julai lalu.

Datuk Anwar yang juga Pengerusi PH menegaskan Kerajaan Persekutuan sedia ada mempunyai mandat untuk berfungsi sehingga tamat penggal pentadbiran.

“Jadi berilah masa. Kita ada mandat, (apabila) sampai pilihan raya, bertempurlah pula. Saya tidak ada masalah itu,” katanya di Dewan Rakyat, pada 14 Julai.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid daripada Perikatan Nasional (PN) pada sesi pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

Datuk Rosol bertanya sama ada Perdana Menteri bercadang membubarkan Parlimen bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, menyusuli ketidaktentuan ekonomi dan politik ketika ini.

Datuk Anwar berkata Kerajaan Perpaduan sentiasa mendengar suara rakyat dan percaya rakyat enggan melihat pemimpin sibuk berpolitik sehingga mengabaikan kepentingan membangunkan ekonomi dan negara.

“Tentang mendengar suara rakyat, ya kita dengar suara rakyat. Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan, rakyat juga mahu ekonomi berkembang, rakyat pun tak mahu kita berpolitik sepanjang masa,” katanya lagi.

Tempoh penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan hanya akan berakhir pada Februari 2028.

Pada PRN Johor ke-16 lalu, BN mencatatkan kemenangan besar dengan mendominasi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pencapaian itu lebih baik berbanding PRU pada 2022, apabila BN hanya memenangi 40 kerusi DUN.

Sementara prestasi PH pula merosot daripada memperolehi 12 kerusi pada PRU 2022 kepada hanya berjaya mempertahankan lapan kerusi, iaitu Senai, Skudai, Puteri Wangsa, Mengkibol, Simpang Jeram, Penggaram, Bentayan dan Stulang, pada PRN baru-baru ini.

Kenyataan Datuk Anwar itu berbeza dengan penegasannya sebelum PRN Johor, yang pernah memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak mengadakan PRU lebih awal jika pertempuran yang dipilih.

Beliau membuat kenyataan itu ketika berucap merasmikan Konvensyen PH di Johor pada 17 Mei lalu, selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika itu mengumumkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN di Johor.

Datuk Anwar ketika itu berkata keputusan BN Johor untuk bertanding solo pada PRN 2026 mengejutkan, ketika BN dan PH mempunyai hubungan baik dan bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.