Politik Malaysia perlu beralih kepada persaingan berasaskan agenda, prinsip dan prestasi pentadbiran, dan bukannya terus terperangkap dalam naratif perkauman yang menyamakan sesebuah parti politik dengan keseluruhan kaum yang dikaitkan dengannya.

Gesaan perubahan kepada model politik baharu itu disuarakan oleh Pengerusi Teras Politik Musyawarah Nasional, Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi, yang bimbang apabila melihat kecenderungan ramai pihak mentafsir hampir setiap perkembangan politik melalui lensa kaum.

Ini, katanya, hanya akan menyempitkan ruang perbahasan awam dan menghalang kematangan demokrasi negara.

Pengerusi Teras Politik Musyawarah Nasional dan Penyelidik Pelawat Pusat Kajian Malaysia, Universiti Soka, Tokyo, Jepun, Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi.
Pengerusi Teras Politik Musyawarah Nasional dan Penyelidik Pelawat Pusat Kajian Malaysia, Universiti Soka, Tokyo, Jepun, Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi. - Foto fail BERNAMA

“Ini bukan seruan supaya parti meninggalkan masyarakat masing-masing. Ini tuntutan supaya setiap parti akur bahawa kaum semata-mata tidak lagi memadai sebagai hujah politik,” katanya kepada Berita Harian (BH).

“Tuntutan ini menikam ke semua arah. Umno tidak boleh lagi menjadikan ‘kami parti Melayu’ sebagai ayat lengkap. DAP (Parti Tindakan Demokratik) tidak boleh menunggang sentimen ‘orang Cina tiada pilihan lain’ dan PAS (Parti Islam SeMalaysia) tidak boleh menggantikan program tadbir urus dengan identiti agama semata-mata,” katanya.

Menurutnya, dalam politik Malaysia, ada satu tabiat lama yang tidak pernah sembuh, iaitu hampir setiap langkah politik dibaca melalui kanta kaum.

“Sebuah kerjasama dibaca sebagai pengkhianatan kaum. Sebuah penolakan dibaca sebagai penghinaan kaum.

“Seolah-olah di sebalik setiap keputusan politik mesti ada niat perkauman yang tersembunyi. Tabiat ini bukan sekadar memenatkan, tetapi ia melumpuhkan. Ia menjadikan perbahasan tentang dasar hampir mustahil, kerana setiap hujah segera diterjemahkan menjadi soal sentimen,” katanya.

Beliau juga berkata tanggapan bahawa penolakan satu pihak terhadap sesebuah parti politik bermaksud penolakan terhadap sesuatu kaum adalah tidak tepat, kerana parti politik hanyalah platform perjuangan, bukannya wakil mutlak kepada mana-mana kelompok masyarakat.

Sebagai contoh, jelas beliau, polemik yang timbul menyusuli kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, baru-baru ini mengenai pendiriannya yang sanggup melepaskan jawatan, daripada menerima Umno mentadbir negeri bersama DAP, disalah tafsir sebagai penolakan terhadap kaum.

“Perselisihan tentang parti, sekali lagi terus ditafsirkan sebagai penolakan terhadap kaum. Di sinilah masalah sebenar pada tafsiran itu, ia bukan penolakan terhadap kaum, tetapi terhadap parti,” katanya.

Profesor Dr Zainal, yang juga Penyelidik Pelawat Pusat Kajian Malaysia, Universiti Soka, di Tokyo, Jepun, berkata andaian sedemikian tidak selari dengan realiti politik Malaysia memandangkan masyarakat Cina turut diwakili pelbagai parti lain termasuk Persatuan Cina Malaysia (MCA), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), selain ramai yang tidak menganggotai mana-mana parti politik.

Beliau turut memberi contoh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November 2025, di mana pengundi di kerusi majoriti Cina sendiri menolak DAP sepenuhnya.

“Adakah mereka bersikap perkauman terhadap kaum sendiri? Sudah tentu tidak. Mereka membuat pilihan politik. Menolak sesebuah parti tidak bermaksud menolak sesuatu kaum,” katanya.

Profesor Dr Zainal berkata sejarah menyaksikan pada 2015, PAS dan DAP memutuskan hubungan dan kerjasama politik.

“Adakah sesiapa melabel DAP anti-Melayu? Atau PAS anti-Cina? Tidak. Kedua-duanya terlepas kerana kedua-duanya menyatakan alasan dasar dan prinsip.

“Sekarang bandingkan. PAS menolak DAP dibaca sebagai prinsip. Umno menolak DAP dibaca sebagai perkauman. Dua parti Melayu/Islam, menolak parti yang sama, tetapi labelnya berbeza.

“Apa yang berubah? Hanya sangkaan tentang niat. Inilah standard berbeza yang sebenar,” katanya.

Pada masa yang sama, Profesor Dr Zainal, yang juga Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah menyediakan perlindungan terhadap kedudukan dan kepentingan sah semua kaum.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan hak sesuatu masyarakat tidak bergantung kepada kewujudan atau penguasaan mana-mana parti politik.

Justeru, beliau berkata perdebatan politik menjelang pilihan raya akan datang seharusnya lebih tertumpu kepada agenda pembangunan, tadbir urus dan penyelesaian isu rakyat berbanding sentimen identiti yang berpotensi memecahbelahkan masyarakat.

“Era parti dominan sudah berakhir. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menghasilkan Parlimen tergantung, dan Kerajaan Perpaduan wujud kerana tiada gabungan mampu memerintah sendirian.

“Dalam keadaan ini, setiap parti akan menolak, ditolak, bersekutu dan berpisah dengan setiap parti lain. Jika setiap langkah itu dibaca secara perkauman, negara akan hidup dalam luka kauman yang tidak pernah sembuh dan dibuka semula pada setiap PRN.

“Maka, satu model baharu diperlukan untuk kitaran pilihan raya mendatang, iaitu kaum bukan lagi asas politik tanpa agenda dan prinsip,” katanya.